suria

Tiga beradik ditahan bantu kes dera, serangan seksual 4 rakan pusat tahfiz

Pelajar tahfiz ditahan bagi membantu siasatan kes budak di sekolahnya yang hilang. -Gambar hiasan Polis syak ada unsur dera dalam kes empat pelajar tahfiz yang ditemui semula selepas dilaporkan hilang Selasa lalu.

POLIS menahan tiga adik-beradik berusia 13, 15 dan 20 tahun bagi membantu siasatan berkaitan penemuan kesan kecederaan pada tubuh empat pelajar tahfiz yang dilaporkan hilang Selasa lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, ketiga-tiga suspek yang ditahan sejak Jumaat merupakan pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Ia merupakan sekolah yang sama dengan kesemua mangsa.

"Suspek pertama direman selama sehari untuk siasatan lanjut manakala dua lagi suspek tidak direman kerana bawah umur," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Jelasnya, semua suspek itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 7 petang pada Sabtu.

"Ketiga-tiga suspek dibebaskan setelah keterangan mereka dirakam.

"Siasatan lanjut masih diteruskan termasuk mendapatkan keterangan daripada doktor," katanya.

Pada Sabtu, polis menemukan beberapa kesan kecederaan pada tubuh badan empat pelajar tahfiz yang ditemukan semula selepas dilaporkan hilang.

Menurut Rusdi, semua pelajar berumur antara 13 hingga 14 tahun itu dijumpai di Bangi, Selangor pada Khamis sebelum dibawa ke hospital untuk pemeriksaan selepas disyaki didera dan menjadi mangsa serangan seksual.

Kata beliau, dua kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 31 1 (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 14 b Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain