suria

Pembangunan ekonomi Malaysia: Satu larian maraton, bukan pecutan

Malaysia dijangka boleh mencapai status negara berpendapatan tinggi seawal tahun 2027.

Oleh: Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri)

PADA Ahad lalu, Alhamdulillah saya berjaya menghabiskan larian separuh maraton pertama saya sejak 2020. 'Pace' atau rentak kelajuan boleh dikira memuaskan sepanjang larian 21.1 kilometer (km) bersama beberapa rakan baik saya.

Jika difikirkan, usaha untuk menambah baik ekonomi negara ini tidak jauh bezanya dengan larian maraton. Sama seperti larian maraton, sementara kita berada di hadapan, kita tidak boleh kehilangan momentum - rentak itu amat penting.

Baru-baru ini, Bank Dunia menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk 2024 daripada 4.3 peratus kepada 4.9 peratus, dengan jangkaan Malaysia boleh mencapai status negara berpendapatan tinggi seawal 2027.

Ini selari dengan anggaran Bank Negara (BNM) menjangka pertumbuhan sebanyak 4.0 hingga 5.0 peratus tahun ini. Beberapa faktor menyumbang kepada hal ini antaranya iklim politik stabil, komunikasi jelas mengenai dasar ekonomi dan tawaran nilai unik Malaysia kepada pelabur.

Titik tumpuan hasil ini adalah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, memberikan hala tuju jelas kepada usaha menarik pelaburan terutamanya dalam sektor pembuatan. Hampir setahun sejak pelancarannya, NIMP mula menunjukkan hasil memberangsangkan dan jelas.

Prestasi pelaburan cemerlang

Prestasi pelaburan cemerlang Malaysia mencerminkan hasil NIMP, dengan RM160 bilion pelaburan diluluskan pada enam bulan pertama tahun ini, peningkatan sebanyak 18 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Dianggarkan 79,187 pekerjaan baharu akan diwujudkan daripada 2,948 projek diluluskan, peningkatan sebanyak 49.3 peratus dan 11 peratus masing-masing, tahun ke tahun.

Apa yang lebih penting, sektor diutamakan dalam Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) menarik masuk pelaburan berkualiti tinggi bernilai RM81.6 bilion, atau 51 peratus daripada jumlah pelaburan diluluskan pada 562 projek bakal menjana 35,780 peluang pekerjaan.

Terdapat juga lonjakan dalam pelaburan sektor teknologi tahun ini. Gergasi teknologi dunia seperti Google, Microsoft, AWS dan Oracle memilih Malaysia sebagai tapak membina infrastruktur teknologi untuk rantau Asia Tenggara, dengan jumlah pelaburan sebanyak AS$16.9 bilion.

Ramai berpendapat pelaburan syarikat teknologi seperti ini hanya membawa limpahan ekonomi terhad, tetapi hasil sebenar adalah melalui penciptaan ekosistem teknologi pelbagai.

Industri sedia ada seperti elektrik dan elektronik (E&E) dan pembuatan cip serta yang baharu seperti keselamatan siber dan kecerdasan buatan (AI), akan berkembang subur bersama.

Dari segi pengeluaran, peralihan daripada model 'just-in-time' kepada pendekatan 'just-in-case' bersedia untuk menangani lonjakan mendadak dan gangguan luaran. Hal ini menjadikan Malaysia rakan kongsi pilihan bagi syarikat multinasional yang memerlukan tapak pembuatan berdaya maju dan boleh dipercayai di Asia Tenggara.

Sementara itu, Strategi Pelaburan Hijau (GIS) dan NIMP yang jelas dan sistematik melonjakkan pelaburan hijau serta secara langsung mengukuhkan peranan kita dalam ekosistem kenderaan elektrik (EV) Asia Tenggara diterajui menerusi usaha sama pengeluar kenderaan global dan pencipta tempatan.

Komitmen kerajaan terhadap tenaga bersih dan teknologi hijau turut menarik pelabur ingin memanfaatkan kepakaran Malaysia dalam pengilangan bateri, infrastruktur EV dan teknologi hidrogen.

Investment, Trade and Industry Minister Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. — THOMAS YONG/The Star

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Perdagangan maju ke hadapan

Dalam lapan bulan pertama tahun ini, perdagangan Malaysia mengekalkan peningkatan perdagangan dengan mencatatkan perkembangan kukuh. Jumlah perdagangan meningkat sebanyak 10.9 peratus tahun ke tahun dan mencecah RM1.9 trilion, perdagangan berkala tertinggi pernah direkodkan.

Tahun ini, permintaan untuk semikonduktor dan elektronik maju dengan pesat apabila transformasi digital dan inisiatif didorong AI di seluruh dunia dipercepatkan.

Pemesatan teknologi 5G, perisian internet benda (IoT) dan pengkomputeran awan mengembangkan permintaan untuk komponen elektronik berkualiti tinggi. Ini memberikan Malaysia kelebihan sebagai pengeksport utama teknologi kritikal ini.

Kita juga mengukuhkan integrasi ke dalam rantaian bekalan global dengan pelaburan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor seperti pengkomputeran kuantum dan AI, membolehkan industri di Malaysia menyesuaikan diri dengan kepesatan perubahan teknologi.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) juga memberi tumpuan dalam mempelbagaikan rakan perdagangan. Pengembangan ke pasaran baharu terutama di Afrika, Asia Barat dan Amerika Selatan dapat membuka peluang pertumbuhan baharu.

Kita juga akan terus memanfaatkan 16 perjanjian perdagangan bebas (FTA) seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) serta Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan meneroka perjanjian perdagangan dua hala untuk mengembangkan akses pasaran bagi barangan dan perkhidmatan Malaysia.

Dalam ASEAN, usaha akan digandakan untuk memuktamadkan rundingan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) pada 2025 bagi memaksimumkan kelebihan integrasi serantau.

NIMP juga melibatkan keterangkuman ekonomi

NIMP juga memberi tumpuan kepada keterangkuman ekonomi untuk meningkatkan penyertaan dalam perdagangan dan industri, seperti melalui pembangunan kluster industri merentas negeri.

Strategi pertumbuhan industri negara juga turut dipacu kerjasama antara industri dan akademia yang lebih menyeluruh bagi memastikan tenaga kerja kita bersedia untuk memenuhi tuntutan dan keperluan masa hadapan.

Pendekatan ini membabitkan penyelarasan kurikulum berdasarkan permintaan industri, mempromosikan usaha sama, memperkasa program perantisan dan mempelopori inisiatif pembelajaran sepanjang hayat.

Selain itu, agensi di bawah MITI seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Collaborative Research in Engineering, Science and Technology (CREST) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) amat proaktif memupuk kerjasama industri–akademia untuk membangunkan bakat khas kepada industri tertentu, mengukuhkan daya saing Malaysia di pasaran global.

Matlamat MITI bukan sahaja untuk menjana pekerjaan, malah meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja kita. Ini membolehkan tenaga kerja kita memiliki gaji lebih tinggi untuk menambah kualiti hidup rakyat.

Memanfaatkan ASEAN

Melihat ke hadapan, antara perkara boleh memperbaiki prospek ekonomi negara ialah keanggotaan kita dalam ASEAN. Sebagai sebuah blok ekonomi, ASEAN menunjukkan daya tahan mengharungi kemaslahatan geopolitik dan ekonomi global masa kini yang tidak menentu.

Selagi kita berpegang teguh pada prinsip 'Cara ASEAN' atau 'The ASEAN Way', meningkatkan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN, serta mempersiapkan industri kita bagi menghadapi cabaran masa depan, kita akan terus maju.

Selaku Pengerusi ASEAN tahun hadapan, Malaysia seharusnya mengambil peluang ini untuk memperkukuhkan kedudukan sebagai hab utama pembuatan dan perkhidmatan serantau.

Dengan memperkasakan dasar yang mampu menyelaraskan proses perdagangan, mengurangkan tarif dan meningkatkan kecekapan rantaian bekalan, kita dapat menarik lebih banyak pelaburan asing dalam pembuatan maju, terutama pada sektor kritikal seperti E&E dan automotif.

Tambahan lagi, inisiatif seperti Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) akan mendorong peranan Malaysia sebagai hab serantau perkhidmatan digital, teknologi kewangan dan e-dagang, terutama untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), sekali gus meningkatkan kemampuan mereka untuk berdaya saing di pasaran antarabangsa.

Dengan langkah strategik ini, negara boleh mengukuhkan kedudukannya sebagai pintu masuk ke ASEAN bagi memacu perkembangan dan pelaburan jangka panjang.

Merujuk kembali kepada analogi maraton saya 'perlumbaan di hadapan kita masih cukup mencabar', namun NIMP dan dasar kerajaan lain mampu memberi sinar menerangi laluan dan membina daya tahan diperlukan untuk membawa kita ke garisan penamat, terus unggul di hadapan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain