PENGURUSAN Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Terengganu akan membantu mengatur pertemuan antara keluarga suspek dengan waris tiga pelajar yang meninggal dunia dalam kemalangan tragis pada Rabu lalu. Menerusi kenyataannya pada Sabtu, UiTM cawangan Terengganu berkata, pertemuan tersebut adalah di atas permintaan keluarga suspek yang berhasrat menyampaikan permohonan maaf menerusi pertemuan empat mata bersama keluarga mangsa. "Bagaimanapun, usaha tersebut perlu mendapatkan masa yang sesuai bagi memastikan semua pihak dalam keadaan bertenang dan benar-benar bersedia. "Pihak UiTM menghargai hasrat tersebut selain akan cuba bantu berhubung dengan keluarga mangsa supaya pertemuan berlaku dalam masa yang sesuai bagi ketiga-tiga keluarga terbabit. "Buat masa ini mereka perlu diberi ruang menghadapi ujian besar kehilangan anak-anak mereka," katanya. ARTIKEL BERKAITAN: Suami suspek wanita rempuh pelajar UiTM mohon maaf kepada waris, dedah peribadi isterinya mStar pada Jumaat melaporkan, suami kepada suspek memohon maaf kepada waris semua mangsa bagi pihak isterinya, selain berharap pihak UiTM dapat membantu mengaturkan pertemuan di antara mereka. Sementara itu menerusi kenyataan yang sama, UiTM turut memaklumkan perkembangan terkini seorang lagi mangsa, Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, yang kini beransur baik dan stabil. Menurutnya, keluarga mangsa turut berpuas hati dengan kemudahan penginapan dan beberapa sokongan lain yang disediakan oleh pihak UiTM. Dalam kejadian pada 7.35 malam, Rabu lalu, tiga pelajar UiTM Kampus Dungun maut, manakala seorang lagi parah selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh suspek wanita berusia 49 tahun yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Pantai, berhadapan UiTM Kampus Dungun. Pelajar yang maut dikenali sebagai Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, dari Muar, Johor; Ku Adib Ku Azmi, 20, dari Sungai Buloh, Selangor; dan Khairil Anwar Jamaludin, 20, dari Ampang, Selangor. Sementara itu, Muhammad Amar Danish dari Kuala Lumpur, mengalami kecederaan di pergelangan tangan dan kini menerima rawatan di Hospital Dungun. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube