suria

Suami suspek wanita rempuh pelajar UiTM mohon maaf kepada waris, dedah peribadi isterinya

Suspek wanita (kiri) yang merempuh tiga pelajar UiTM Dungun hingga maut kini direman.

SUAMI kepada pemandu wanita yang merempuh dua motosikal sehingga menyebabkan kematian tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun pada Rabu lalu, memohon maaf kepada waris semua mangsa bagi pihak isterinya.

Azhar Ahmad, 53, berkata dia ingin memohon maaf kepada keluarga mangsa pada malam kejadian tragis berkenaan tetapi dinasihatkan polis dan rakan-rakannya supaya menunggu sehingga keadaan reda.

"Saya menangis dan sangat sedih melihat kemalangan itu, saya mewakili isteri ingin memohon maaf dari hujung rambut hingga ke hujung kaki kepada semua ahli keluarga pelajar yang terlibat," katanya pada Jumaat.

Mengimbas kembali situasi pada malam kejadian, Azhar berkata, dia hanya menyedari kehilangan isterinya selepas mendapati pintu pagar rumah terbuka dan keretanya sudah tiada.

Katanya, dia sedang menunaikan solat bersama anaknya pada malam itu dan isterinya berada di ruang tamu menonton televisyen.

"Selepas solat, saya keluar dari bilik dan mendapati isteri saya tiada, saya perasan kereta juga tiada di tempat letak kereta dan pintu pagar terbuka luas.

"Saya telah menyembunyikan kunci kereta, saya tidak tahu bagaimana isteri saya berjaya menemuinya," kata bapa kepada tiga anak itu.

Ketika hendak keluar mencari isterinya, Azhar berkata dia menerima panggilan daripada rakan yang memaklumkan kenderaannya terlibat dalam kemalangan.

"Saya dan anak bergegas ke lokasi kejadian sejauh kira-kira dua kilometer. Hati saya sebak apabila melihat empat remaja lelaki terbaring di situ," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Suspek rempuh pelajar UiTM tak pernah terima rawatan mental di Terengganu

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita rempuh 4 pelajar UiTM Dungun direman, dipercayai tak siuman memandu Honda CRV

Berkongsi cerita mengenai isteri yang dikahwininya selama 30 tahun itu, Azhar berkata wanita itu merupakan isteri dan ibu yang baik serta penyayang, namun menghidap masalah kesihatan mental 10 tahun lalu selepas hamil di luar rahim sehingga kandungannya terpaksa digugurkan.

Ketika mendapat rawatan, ujar Azhar, isterinya koma selama empat hari dan kehilangan banyak darah.

Selepas sedar daripada koma, ujarnya, isterinya menunjukkan kelakuan yang berbeza dan mula berhalusinasi.

"Saya sudah membawa isteri mendapatkan rawatan di hospital dan juga rawatan tradisional, namun tiada sebarang perubahan," katanya.

Tambah Azhar, walaupun dalam keadaan sedemikian, isterinya masih menggalas tanggungjawab sebagai suri rumah seperti mengemas dan memasak.

"Dia juga sangat menyayangi anak dan cucu, sering membeli dan memasak makanan untuk mereka," katanya lagi.

Dalam kejadian pada 7.35 malam, Rabu lalu, tiga pelajar UiTM Kampus Dungun maut, manakala seorang lagi parah selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh suspek wanita berusia 49 tahun yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Pantai, berhadapan UiTM Kampus Dungun.

Pelajar yang maut dikenali sebagai Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, dari Muar, Johor; Ku Adib Ku Azmi, 20, dari Sungai Buloh, Selangor; dan Khairil Anwar Jamaludin, 20, dari Ampang, Selangor.

Sementara itu, Muhammad Amar Danish Mohammad Ridhuan, 20, dari Kuala Lumpur, mengalami kecederaan di pergelangan tangan dan kini menerima rawatan di Hospital Dungun. -The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain