suria

Sudah taubat, GISBH tak ikut amalan sesat Al-Arqam - Anak Ashaari Muhammad

Khaulah ketika sidang media Shah Alam pada Isnin. -KK SHAM/ The Star

ANAK pengasas Al-Arqam akhirnya tampil bersuara mengenai kes kontroversi melibatkan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

Menurut anak perempuan Asaari Muhammad yang dikenali sebagai Khaulah, 38, pengikut GISBH tidak lagi mengikuti amalan kumpulan Al-Arqam yang sudah difatwakan sesat.

"Berkait amalan yang dikatakan, memang GISBH konsisten untuk tidak lagi mengamalkan apa-apa ajaran yang dikatakan sesat atau salah.

"Kita sentiasa mengikuti kursus pihak berkuasa termasuk jabatan agama dan kita mengikuti proses istitabah (bertaubat) yang dikendalikan di Jabatan Mufti Selangor.

"Kita juga berkomitmen tidak mengamalkan apa-apa yang dilakukan sebelum ini iaitu pada zaman Al-Arqam," ujar Khaulah yang juga salah seorang pengarah sebuah anak syarikat GISBH.

Khaulah berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam satu sidang media di sebuah hotel di Shah Alam pada Isnin.

gisbh2

Antara mereka yang ditahan dalam kes melibatkan GISBH.

Berhubung video tular ahli GISBH yang mengagungkan Abuya atau Asaari Muhammad, Khaulah berkata ia merupakan rakaman tahun 2011 yang kembali tular di media sosial.

"Itu adalah video lama sebelum kami melalui kursus pemulihan selama 500 jam, proses istitabah dan sebagainya. Tetapi video itu keluar sekarang sedangkan ia sudah lama berlaku," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, peguam-peguam yang mewakili GISBH turut menafikan dakwaan mengaitkan mereka sebagai sebuah kumpulan pengganas.

Menurut jurucakapnya, Datuk Rosli Kamarudin, GISBH serta individu-inividu yang disiasat mahu kes berkenaan diadili dengan telus dan saksama.

ARTIKEL BERKAITAN: Tamat tempoh reman, 16 individu termasuk CEO GISBH ditahan semula di bawah Sosma

"Kami diarah untuk menyatakan bahawa GISBH, pegawai-pegawai tertinggi dan sesiapa yang disiasat di bawah kes ini ingin bersama-sama pihak berkuasa.

"Hak menyiasat adalah hak pihak berkuasa dan kami akur dengan siasatan ini tetapi GISBH dan yang disiasat merayu agar siasatan dijalankan dengan adil dan saksama.

"Biarlah PDRM dan kerajaan menyelesaikan siasatan mereka manakala hak undang-undang GISBH akan diurus pasukan peguam dilantik," ujar Rosli dalam sidang media sama.

Pada Khamis, mStar melaporkan 16 individu, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH), ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, sejumlah 97 kertas siasatan dibuka dalam operasi terhadap GISBH yang dinamakan Ops Global.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain