suria

Aktiviti mendaki bertukar tragedi... Wanita disahkan maut, dihempap pokok ketika tidur dalam khemah

Aktiviti mendaki secara berkumpulan. -Gambar hiasan

EKSPEDISI mendaki bertukar tragedi apabila seorang pendaki wanita maut di Kem Seputih berdekatan Gunung Rajah, Kuala Tahan, Jerantut.

Dalam kejadian itu, mangsa meninggal dunia selepas dihempap pokok tumbang ketika tidur dalam khemah.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad.

Memetik Sinar Harian, Zukri berkata, mangsa, Wan Nurulhuda Mior Abdullah, 49, disahkan meninggal dunia selepas tiba di pangkalan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan pada pukul 8.55 malam Ahad.

"Mangsa mengalami kecederaan di pinggul dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya dipetik sebagai berkata.

Berdasarkan maklumat, kata Zukri, kumpulan tersebut terdiri daripada 10 pendaki bersama seorang malim gunung yang memulakan pendakian pada Isnin minggu lalu.

Menurutnya, mereka dijangka turun pada Ahad bagaimanapun kira-kira pukul 12 tengah hari pada hari berkenaan, pihak polis menerima maklumat mangsa dihempap pokok tumbang ketika tidur.

"Helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah tiba di Kuala Tahan untuk bantuan menyelamat mangsa.

"Sebaik tiba di pangkalan udara, mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan," katanya.

Zukri berkata, bantuan melalui darat agak sukar kerana akan mengambil masa kira-kira dua hari untuk sampai ke lokasi selain tiada jaringan talian telefon.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain