EMPAT suspek ditahan kerana didakwa membunuh seorang lelaki berusia 34 tahun dalam kejadian di sebuah rumah kongsi sekitar Bidor, Perak. Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi berkata dua pekerja asing ditahan pada Isnin, manakala dua lelaki warga tempatan dipercayai suspek utama ditahan pada Selasa. Terdahulu Mohd Naim berkata, seorang wanita berusia 35 tahun tampil membuat laporan polis sekitar pukul 4.21 pagi pada Isnin. "Wanita itu yang merupakan seorang kerani di sebuah kliang di Bidor menyatakan dia mendengar suaminya bertengkar dengan salah seorang suspek warga tempatan. "Mereka difahamkan bergaduh mengenai kecederaan dan bengkak pada wajah abang ipar wanita tersebut. Suspek seterusnya bertindak memukul kepala suami wanita itu menggunakan tukul menyebabkan pendarahan. "Wanita itu kemudian membawa suaminya ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan. "Bagaimanapun apabila pulang ke rumah, wanita itu menemukan abang iparnya (mangsa) terbaring di luar kediaman, tidak sedarkan diri dan dipercayai sudah meninggal dunia," kata Mohd Naim. Tambah Mohd Naim, motif kes pembunuhan masih dalam siasatan. "Polis pada mulanya menahan dua pekerja warga asing yang menetap di sebuah rumah kongsi pada Isnin, suspek sudah direman selama tujuh hari. "Manakala pada Selasa, dua lelaki warga tempatan ditahan dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Tapah untuk direman pada Rabu. "Dua pekerja warga asing tersebut tidak mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah, namun dua lelaki warga tempatan itu mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah," katanya. - The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube