KETUA Pegawai Eksekutif GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd Ali, isterinya Datin Azura Md Yusof, dan anak pengasas Al-Arqam Ashaari Muhammad, Adib At-Tamimi antara 22 individu yang didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang. Kesemua 22 individu itu didakwa pada Rabu di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika disabitkan kesalahan. Tiada pengakuan direkodkan daripada 22 individu itu, kerana kes ini berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi berdasarkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma). Perbicaraan dijadualkan berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan 23 Disember depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan kes. Semasa prosiding, peguam GISBH, Rosli Kamaruddin memohon kepada Hakim Lailatul Zuraida Harron @ Haron untuk memberikan Nasiruddin dan tiga anggota lain 10 minit bagi menandatangani afidavit yang diluluskan. ARTIKEL BERKAITAN: Sudah taubat, GISBH tak ikut amalan sesat Al-Arqam - Anak Ashaari Muhammad Dia turut memohon agar seorang anggota wanita diberikan bantuan perubatan kerana berada dalam keadaan tidak sihat. Hakim Lailatul Zuraida membenarkan mereka yang tidak sihat untuk mendapatkan bantuan perubatan. Selain Rosli, peguam lain yang mewakili 22 individu itu adalah Zaim Rosli, Dorina Abdullah, Boestamam Ahmad, dan M. Hafiz Zainal Abidin. Pasukan pendakwa terdiri daripada Datuk Razali Che Ani, Datuk Nazran Mohd Sham, Lina Hanini Ismail, dan Siti Hajar Mat Radzi. Untuk rekod, pihak berkuasa menangkap 415 individu dan menyelamatkan 625 mangsa yang berumur antara dua bulan hingga 28 tahun sejak Op Global dimulakan September lalu. Daripada 415 individu yang ditahan, 273 telah diberikan jaminan, 37 dibebaskan tanpa syarat, 35 masih dalam tahanan, dua telah diserahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah manakala seorang lagi dipindahkan ke Jabatan Imigresen untuk proses pengusiran. - The Star. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube