suria

Servis dibayar RM60, 7 wanita dipaksa jadi pekerja seks diselamatkan... ‘Kapten’ Bangladesh ditahan

Sekumpulan wanita yang merupakan mangsa eksploitasi seks diselamatkan dalam satu operasi. Foto JIM

SERAMAI tujuh wanita warga Vietnam yang menjadi pekerja seks diselamatkan selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melakukan satu operasi membanteras pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran di Klang, Selangor.

Menurut JIM, kesemua tujuh wanita itu berusia antara 32 hingga 45 tahun diselamatkan dalam operasi di sebuah premis rumah kedai dua tingkat, pada Isnin (21 Oktober).

"Berdasarkan maklumat aduan, tujuh wanita itu dilaporkan telah dikurung di premis tersebut dan dipukul jika enggan melayani pelanggan.

"Kesemua wanita itu masuk sebagai pelancong tetapi dipaksa dan dieksploitasi sebagai pekerja seks di premis tersebut.

"Premis ini dikawal ketat oleh 'kapten' yang merupakan warga Bangladesh dengan dipantau sepanjang masa melalui kamera litar tertutup (CCTV)," menurut JIM dalam kenyataan, petang Rabu.

Ketika pemeriksaan dijalankan, anggota JIM terpaksa memecahkan pintu utama kerana penjaga premis atau 'kapten' itu enggan bekerjasama.

Mereka cuba melarikan diri melalui tingkap di tingkat dua bangunan itu, tetapi berjaya ditahan.

Menurut JIM, siasatan mendapati kesemua pasport wanita itu dipegang oleh individu dipercayai ejen yang menawarkan pekerjaan kepada mereka.

"Mereka hanya dibayar RM60 bagi setiap pelanggan dan pergerakan dikawal ketat, termasuk larangan keluar untuk membeli makanan dan barang keperluan," katanya.

Tambah kenyataan itu, JIM melakukan siasatan bagi kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670].

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain