DUA remaja perempuan nyaris diculik dalam dua kejadian berasingan di jalan utama berhampiran tanah perkuburan dekat Kampung Padang di Gerik. Menurut Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, kedua-dua mangsa berusia 14 tahun. Beliau berkata, kes pertama berlaku pada Isnin ketika mangsa menunggang basikal ke sekolah pada pukul 6.45 pagi. Jelasnya, sebuah van warna kelabu berhenti di hadapannya dan sebuah lagi van warna putih dengan nombor pendaftaran negara jiran menghimpit di bahagian kanan mengikuti sehingga sampai di jalan raya di hadapan tanah perkuburan. "Semasa kejadian itu, terdapat seorang wanita yang dikenali bertindak memanggil mangsa, menyebabkan kedua-dua buah van tersebut terus beredar," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu. Sementara itu, Zulkafli berkata, kejadian kedua berlaku pada Selasa pada kira-kira pukul 3.20 petang, ketika mangsa kedua berjalan kaki dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumahnya di Kampung Padang. Beliau berkata, mangsa dihimpit oleh sebuah van menggunakan nombor pendaftaran negara jiran sebelum dua lelaki memakai pelitup muka bertindak menarik beg sekolah dan mengheretnya hingga terjatuh. "Mangsa diselamatkan oleh abangnya yang tiba di situ dan menendang salah seorang suspek. Kedua-duanya berjaya melarikan diri menggunakan van tersebut," katanya. Laporan polis mengenai kedua-dua kejadian itu dibuat pada Rabu. Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan dan sebagai langkah proaktif, polis membuat rondaan di kawasan berhampiran sekolah, kampung, dan kawasan-kawasan yang berpotensi berlaku jenayah. "Kami ingin menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya memberi lebih perhatian terhadap keselamatan anak-anak dengan menghantar serta mengambil mereka dari sekolah bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku. "Ibu bapa dan penjaga juga perlu menasihati anak-anak agar tidak mengikut atau mendekati individu yang tidak dikenali," katanya. Menurut Zulkafli, usaha mengesan saksi dan suspek sedang giat dijalankan. Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube