suria

Lepas bawa keluar makan, ikut balik asrama… Remaja Tingkatan 3 dirogol 5 lelaki bergilir-gilir

Mangsa rogol berdepan trauma berpanjangan. - Gambar hiasan

TINDAKAN seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 mengikut lelaki yang baru dikenalinya membawa padah apabila dia dirogol secara bergilir-gilir di sebuah asrama di Batu Gajah, pada Isnin.

Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat, berkata mangsa berusia 15 tahun itu dirogol lima lelaki.

Tambah beliau, pada hari kejadian ibu mangsa membuat laporan polis apabila anaknya itu tidak pulang ke rumah selepas sesi persekolahan pada pukul 1.30 tengah hari.

Katanya, mangsa pada mulanya berjumpa teman lelaki dan berkeliaran di sekitar Batu Gajah sebelum berkenalan dengan lelaki baharu dikenali.

"Mangsa keluar makan bersama dengan kenalan baharu yang kemudian mengajaknya ke sebuah asrama yang turut dihuni lima lelaki lain.

"Mangsa ditawarkan ke sebuah bilik kosong untuk tidur dan berehat sebelum lima lelaki berkenaan masuk ke dalam bilik itu dan merogol mangsa secara bergilir-gilir," katanya menerusi kenyataan.

Menurut Zulkafli lagi, mangsa dikesan keesokannya harinya (Selasa) di asrama terbabit dan dibawa ke IPD Batu Gajah untuk disoal siasat.

"Hasil soal siasat yang dijalankan mendapati mangsa dirogol lima lelaki di dalam asrama berkenaan pada hari sama laporan polis dibuat oleh ibu mangsa, kira-kira jam 10.22 malam.

"Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Batu Gajah dengan dipandu arah oleh mangsa, menahan lima lelaki berusia antara 18 hingga 27 tahun untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, semakan rekod lampau mendapati dua daripada lima suspek itu, berusia 27 tahun masing-masing mempunyai satu rekod jenayah dan satu kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, permohonan reman ke atas kelima-lima suspek dibenarkan oleh majistret selama enam hari bermula 23 hingga 28 Oktober ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 375b Kanun Keseksaan iaitu kerana merogol secara berkumpulan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain