suria

Penganggur bawa Myvi redah masuk sekolah, cuba bunuh remaja perempuan sedang main bola tampar

Kes cubaan membunuh disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan. -Gambar hiasan

PELAJAR sebuah sekolah menengah cedera selepas dilanggar seorang lelaki menggunakan kereta dalam kejadian di Taman Bintang, Manjung, Perak pada petang Rabu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, mangsa seorang pelajar perempuan yang berusia 13 tahun mengalami kecederaan di kaki kiri akibat dirempuh secara melulu ketika sedang berlatih bola tampar.

Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Seri Manjung, katanya.

Menurut Hasbullah, dalam kejadian yang berlaku sekitar 5.30 petang Rabu, suspek lelaki berusia 47 tahun didapati memandu kereta Perodua Myvi secara melulu hingga melanggar pintu pagar gelanggang bola keranjang sehingga roboh.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita rempuh 4 pelajar UiTM Dungun direman, dipercayai tak siuman memandu Honda CRV

"Suspek kemudian menghala ke sebuah sekolah menengah dan masuk ke dalam kawasan sekolah menuju ke arah dewan di mana sekumpulan pelajar sedang berlatih bola tampar.

"Suspek merempuh mangsa sebelum melarikan diri dari tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Susulan kejadian tersebut, Hasbullah mengesahkan suspek lelaki yang merupakan seorang penganggur ditahan kira-kira petang 6.30 petang hari yang sama.

"Suspek telah dirujuk ke hospital untuk rawatan memandangkan keadaan mentalnya tidak stabil.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,"katanya lagi.

Beliau turut menggesa orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan supaya menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nur Munawara Ahmad di talian 011-1624 0391 atau balai polis daerah di talian 05-688 6222 bagi membantu siasatan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain