suria

Padah kacau isteri orang, Datuk diperintah bayar ‘sogit’ 3 ekor kerbau... Ada bukti ‘check-in’ hotel satu malam

Mahkamah Anak Negeri dibangunkan di setiap daerah bagi memudahkan urusan rakyat berbilang etnik di Sabah. -Gambar hiasan

SEORANG penjawat awam kanan Sabah bergelar Datuk didenda membayar 'sogit' tiga ekor kerbau dan RM3,000 oleh Mahkamah Anak Negeri kerana memikat isteri orang.

Ketua Mahkamah Anak Negeri Papar, OKK Alexander Malianus memerintahkan Datuk yang berusia 57 tahun itu membayar sogit (pampasan) kepada plaintif, seorang bekas penjawat awam negeri berusia 76 tahun, dalam tempoh sebulan berkuat-kuasa mulai Rabu (23 Oktober).

'Sogit' adalah peraturan atau undang-undang yang bertindak sebagai saman dengan pampasan daripada pihak yang bersalah, mengikut amalan adat istiadat etnik di Sabah khususnya suku kaum Dusun.

Terdahulu, plaintif menuduh defendan yang kini masih dalam perkhidmatan awam, melakukan gangguan terhadap isterinya dan memfailkan kes pada 29 Ogos lalu atas dakwaan memikat isteri mudanya yang berusia 30-an.

"Mahkamah mendapati defendan bersalah kerana melanggar adat masyarakat Kadazandusun di Papar kerana mengganggu isteri plaintif," kata Malianus ketika membaca penghakimannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakan pejabat ‘bertaruh’ pikat isteri orang, tak pandang anak dara... Akhirnya ‘kantoi’ ada video, borak mesra di WhatsApp

Bagaimanapun katanya, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan penghakiman itu boleh merayu kepada Mahkamah Anak Negeri Daerah dalam tempoh 60 hari daripada tarikh keputusan mahkamah.

Defendan bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah untuk menjawab pertuduhan yang difailkan mengikut Bahagian III Seksyen 8(1) Tradisi Adat Kaum Kadazandusun Daerah Papar.

Defendan juga tidak menghadiri perbicaraan pertama pada 4 Oktober lalu.

Malianus berkata, defendan, sebagai penjawat awam kanan, gagal memberikan penjelasan munasabah berhubung ketidakhadirannya dalam perbicaraan ketika memutuskan untuk meneruskan prosiding pada Rabu.

Beliau berkata kegagalan untuk hadir pada perbicaraan Mahkamah Anak Negeri adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 25 Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992, dan mereka yang didapati bersalah boleh didenda RM200 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata mahkamah juga akan mengambil tindakan terhadap defendan kerana tidak hadir pada perbicaraan tersebut.

Menurut Malianus, plaintif telah mengemukakan dua muka surat aduan, 10 gambar dan tangkapan skrin mesej WhatsApp antara 24 Januari dan 2 Mac tahun ini, serta nombor telefon untuk membuktikan dakwaan bahawa defendan memikat isterinya.

Plaintif juga mengemukakan dokumen yang menunjukkan bukti penginapan di Deluxe Rail Suite Aeropod dari 31 Mei hingga 1 Jun 2024.

Susulan keputusan mahkamah itu, plaintif menegaskan penghakiman berkenaan merupakan peringatan yang signifikan untuk menegakkan penghormatan terhadap kesucian ikatan perkahwinan. -The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain