suria

Adeline Chang mengaku salah buat hantaran jelik kepada budak lelaki... Hakim pesan jaga kedudukan ‘influencer’

Hakim memerintahkan Adeline membayar denda sebanyak RM7,000.

AKIBAT membuat hantaran jelik terhadap seorang kanak-kanak lelaki lima tahun, pempengaruh media sosial Adeline Chang menerima padah apabila dia didenda sebanyak RM7,000 pada Khamis.

Adeline atau nama sebenarnya Chang Pei Yi, 24, selaku orang kena saman (OKS) dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim, Ahmad Fuad Othman di Mahkamah Sesyen, Petaling Jaya.

Mahkamah memerintahkan wanita bujang itu dipenjara enam bulan sekiranya dia gagal membayar denda tersebut.

Sementara itu Ahmad Fuad ketika membacakan penghakiman menasihati wanita itu supaya membuat hantaran yang murni sahaja.

ARTIKEL BERKAITAN: Dipecat daripada kedai roti, Alice Chang cuba nasib di francais aiskrim pula... Dakwa tipu identiti waktu mohon kerja

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan Facebook ‘Adeline Chang’, secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu gambar berserta teks dalam bahasa Mandarin yang jelik, dengan niat menyakiti hati orang lain, pada pukul 11 malam, 30 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Mengikut fakta kes, Adeline membuat hantaran jelik itu berikutan mempunyai perselisihan faham dengan ibu kanak-kanak terbabit.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain