SEORANG kanak-kanak maut akibat ditimpa serpihan tembok simen yang terjatuh dari rumah kedai tiga tingkat dalam kejadian di Kompleks Al-Azim, Melaka pada Selasa malam. Mangsa, Ong Lun Keat yang berusia tujuh tahun itu bertarung nyawa sebelum disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di zon merah Hospital Melaka. Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada pengurus Dominos berusia 34 tahun di Balai Polis Bukit Baru. Menurut Christopher, pengurus terbabit memberitahu dua kanak-kanak dan seorang lelaki dewasa serta enam motosikal ditimpa satu tembok simen yang jatuh dari atas Restoran Domino Pizza cawangan Bukit Baru. “Siasatan mendapati kanak-kanak dari Taman Bukit Baru Solok Bukit Pulau itu dan adik lelakinya berusia lima tahun mengikut bapa mereka ke sebuah bank di situ. “Ketika berjalan keluar dari bank, secara tiba-tiba satu serpihan tembok simen jatuh menimpa mereka menyebabkan Lun Keat mengalami kecederaan parah, manakala bapanya berusia 42 tahun dan adiknya cedera ringan. “Mangsa dibawa ke hospital oleh orang awam dan dirawat di zon merah. Kanak-kanak itu turut diberikan bantuan pernafasan CPR (Cardiopulmonary Resuscitation) selama 60 minit, namun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada pukul 10.18 malam,” katanya. Christopher berkata, bedah siasat dijalankan pada pukul 11 pagi Rabu dan mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan teruk akibat ditimpa objek berat. Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube