suria

Bau busuk bongkar warga emas nyanyuk tinggal bersama mayat anak, mujur disedari jiran tetangga

Mangsa disahkan mati mengejut. -Gambar hiasan

SEORANG warga emas yang menghidap penyakit Alzheimer tidak menyedari anak lelakinya sudah lima hari meninggal dunia.

Lebih menyayat hati apabila perkara itu hanya diketahui jiran tetangga yang curiga dengan bau busuk dari rumahnya di Taman Selasih, Tanah Merah di Kelantan.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia sejak lima hari lalu dan mayatnya sudah berbau serta berulat.

Menurutnya, mangsa yang berusia 53 tahun ditemukan meninggal dunia di dalam bilik tidur di tingkat atas kediaman tersebut pada pukul 11.50 malam Jumaat, oleh pihak berkuasa.

Keadaan mayat mangsa ketika ditemukan pihak berkuasa.

Keadaan mayat mangsa ketika ditemukan pihak berkuasa. -Foto Utusan Malaysia

“Anggota kami menerima panggilan dari jiran mangsa yang memberitahu mengenai bau busuk dari rumah mangsa.

“Mangsa tinggal bersama bapanya yang berusia 90-an dan sudah nyanyuk menyebabkan polis terpaksa memecahkan pintu untuk membuat pemeriksaan.

“Mangsa ditemukan di dalam bilik tidur di tingkat atas dan mayatnya sudah berbau serta berulat,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohd Haki berkata, siasatan lanjut yang dibuat tidak menemui sebarang unsur jenayah dan mangsa dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk proses bedah siasat.

Beliau kemudiannya mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut dan mengalu-alukan sesiapa yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain