suria

SPRM siasat kerugian pelaburan RM43.9 juta dalam FashionValet

Tan Sri Azam Baki berkata SPRM mula menyiasat kerugian pelaburan itu.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan terhadap kerugian sebanyak RM43.9 juta yang dialami oleh Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) daripada pelaburan mereka dalam FashionValet, kata Tan Sri Azam Baki.

Ketua Pesuruhjaya SPRM itu berkata siasatan diperlukan kerana ia melibatkan isu dana dan merupakan perkara berkepentingan awam.

"Siasatan diperlukan untuk menentukan sama ada terdapat elemen jenayah," katanya, memetik laporan Astro Awani pada Jumaat malam.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen minggu lalu, Kementerian Kewangan berkata Khazanah dan PNB menjual saham mereka dalam platform e-dagang fesyen FashionValet pada harga RM3.1 juta kepada NXBT Partners pada tahun 2023.

ARTIKEL BERKAITAN: Vivy, suami akhirnya jawab isu FashionValet... Mohon maaf kepada pelabur, lepaskan jawatan

Ini berbeza dengan pelaburan RM47 juta yang dibuat oleh Khazanah dan PNB pada tahun 2018, terdiri daripada RM27 juta dan RM20 juta masing-masing untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.

Pada Khamis, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengarahkan kedua-dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan itu dan FashionValet untuk menjelaskan kerugian sebanyak RM43.9 juta itu.

Ketiga-tiga pihak telah mengeluarkan kenyataan.

Khazanah berkata penjualan pegangan sahamnya dalam FashionValet adalah untuk memindahkan pemilikan kepada pihak baharu yang berkemampuan untuk mengemudi syarikat ke arah pertumbuhan.

Sementara itu, PNB menyatakan pelaburan itu menggunakan dana proprietari dan bukan dana amanah di bawah Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang dilanggan oleh orang awam.

Pada Jumaat, pasangan usahawan Datin Vivy Yusof dan suami, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar turut memohon maaf dan melepaskan jawatan mereka dalam platform e-dagang, FashionValet.

Pengasas bersama FashionValet itu berkata, mereka bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan pelaburan oleh Khazanah dan PNB.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain