suria

PM beri amaran, arah KPT dan menteri jangan tolak ansur budaya buli di kampus

Anwar bercakap pada Program Temu Anwar di UPNM, Jumaat. -Foto Bernama

DAKWAAN mengenai kes buli yang berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar, budaya itu tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi dianggap satu budaya biasa dalam institusi pendidikan di negara ini.

"Amalan seumpama itu tidak boleh berlaku dalam pusat ilmu apatah lagi menganggapnya sebagai satu budaya biasa. Apa masalah sampai begitu sekali?

"Ia kelompok kecil bukan mewakili keseluruhan mahasiswa tapi budaya itu mengizinkan. Budaya samseng, buli, gangster dalam sistem pendidikan di sekolah kebangsaan, Cina, Tamil, Maahad Tahfiz dan sekolah agama.

"Ini adalah kegilaan. Kita cakap soal ilmu, kita tidak tahu disiplin itu mendidik manusia. Darjat kemanusiaan dan ilmu itu penting kepada penghayatan," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jurulatih nampak kesan cedera di tubuh, pegawai kadet UPNM dakwa dibuli senior

Anwar berkata demikian semasa program “Temu Anwar” di kampus UPNM di Sungai Besi, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Dalam sesi yang sama, Anwar turut memberi pesanan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar tidak bertolak ansur dengan budaya itu.

"Jadi program pendidikan dan nilai mesti ditekankan. Ini kerana kita ambil sikap permisif, mengalah dan bertolak ansur terhadap pembuli.

"Ia tidak boleh berlaku kalau budaya menolaknya. Saya bagitahu kepada menteri pendidikan, jangan tolak ansur," ujarnya.

Pada Rabu, media melaporkan seorang pegawai kadet tahun dua di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM, Sungai Besi dipercayai menjadi mangsa buli dan dera oleh senior.

Susulan itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan pada malam Rabu berkata pihaknya sedang menyiasat kes berkenaan.

Dalam kenyataan sama, ATM turut mengesahkan kejadian melibatkan mangsa yang dibuli dan melecur pada dada akibat ditekap seterika seperti yang tular di media sosial.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain