SEORANG remaja lelaki maut manakala empat lagi cedera selepas terkena renjatan elektrik di kawasan sawah di Kampung Tanjung Putus, Kuala Nerang, pada petang Rabu. Memetik laporan Sinar Harian, dalam kejadian itu, Muhammad Hariyz Akief Noraimi, 14, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Syed Ahmad, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Nerang. Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Padang Terap, Asisten Superintendan Yukhrul Mohd Yusof berkata, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 6.30 petang ketika mangsa bersama empat rakannya pergi ke kawasan tersebut untuk megambil umpan pancing tiruan yang tersangkut pada kabel elektrik. Katanya, salah seorang rakan mangsa naik di atas tempat duduk motosikal dan cuba mengait umpan tiruan menggunakan galah aluminium. ARTIKEL BERKAITAN: Tragis! Pelajar tahfiz maut terkena renjatan elektrik ketika hujan lebat "Ketika itu, mangsa (Muhammad Hariyz) bersama rakannya yang lain memegang motosikal itu supaya tidak terjatuh. "Ketika cuba mengait umpan tiruan, lima remaja terbabit terkena renjatan elektrik menyebabkan mereka semua pengsan. "Empat rakan mangsa kembali sedar tidak lama kemudian, namun mangsa masih tidak sedarkan diri. "Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Nerang oleh penduduk kampung, dan sebaik tiba di hospital, pegawai perubatan mengesahkan Muhammad Hariyz telah meninggal dunia," katanya. Katanya, mayat Muhammad Hariyz dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat. Sementara itu empat lagi remaja berusia 15, 16 dan 19 tahun mengalami lecur di kaki, badan dan muka. Keempat-empat mereka kini sedang dirawat di HSB. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube