POLIS sedang menjejaki seorang gadis dikenali sebagai Puteri Ellyana Natasha Abdullah, 18, yang hilang sejak 22 Oktober lalu. Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman, mangsa tidak pulang ke rumah selepas dia dihantar ke tempat kerja oleh bapanya pada hari tersebut. "Pada 22 Oktober, pukul 2 petang, pengadu hantar anaknya, orang hilang (OH) ke tempat kerja di Restoran KFC Pekan Tampin. Pada tarikh sama, pukul 11 malam, pengadu mendapati OH tiada di tempat kerja ketika mahu menjemputnya pulang. "Pengadu pulang ke rumahnya dan dapati anaknya masih juga belum pulang. Pengadu syak anaknya keluar dari rumah mengikut kenalannya ke Rawang, Selangor," ujarnya. ARTIKEL BERKAITAN: Terlalu banyak kes orang hilang, mati dibunuh... Wanita kongsi 10 tip keselamatan ketika keluar rumah Menurut Amiruddien, lelaki itu kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Rawang pada 23 Oktober. "Pada tarikh sama (23 Oktober) pukul 10.17 malam, pengadu maklum OH dapat dihubungi dan OH memberitahu kini berada di Pulau Pinang dan akan kembali selepas mendapat ketenangan diri. "Pada 29 Oktober, pengadu memaklumkan kepada pegawai penyiasat kes yang mana OH masih belum pulang dan tidak dapat dihubungi," kata Amiruddien menerusi satu kenyataan pada Khamis. Amiruddien turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang OH untuk segera berhubung dengan pihak polis. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube