suria

Tragis! Kemalangan motosikal rempuh lori libat 2 beranak... Pemandu positif dadah

Keadaan menyayat hati di lokasi nahas. -Foto Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran

SEORANG bapa maut manakala anak lelakinya cedera akibat terlibat kemalangan jalan raya di Kilometer 65.5 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, dekat Maran, Pahang sekitar pukul 8 malam pada Selasa.

Difahamkan ketika kejadian, mangsa dikenali sebagai Sivalingan Baskaram, 43, sedang menunggang motosikal dari arah Maran untuk pulang ke kediaman di Kampung Sri Jaya bagi menyambut Deepavali.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata nahas berlaku apabila sebuah lori dari arah bertentangan membelok masuk ke simpang kanan secara mengejut.

"Penunggang motosikal tidak sempat berhenti lalu melanggar bahagian belakang di sebelah kiri lori berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, anak lelaki mangsa berusia lapan tahun yang membonceng motosikal dibawa untuk menerima rawatan di Klinik Kesihatan Maran.

"Pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati pemandu lori itu positif dadah jenis methamphetamin. Kes kemalangaan disiasat mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube