suria

Tuduhan skandal dana 1MDB sah, tiada cacat... Najib diperintah bela diri

Najib ketika di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu.

MAHKAMAH Tinggi memutuskan pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib Razak sebagai sah di sisi undang-undang dan tidak mengelirukan.

Hakim Collin Lawrence Sequerah ketika membacakan keputusannya menolak pendapat pasukan pembelaan bahawa pertuduhan membabitkan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion terhadap Najib adalah 'cacat dan samar-samar'.

"Saya dapati pertuduhan itu memenuhi semua kriteria undang-undang di bawah Kanun Tatacara Jenayah," kata hakim pada Rabu.

Tambahnya, mahkamah juga tidak mendapati Najib 'dianiaya' oleh pertuduhan yang dikemukakan itu.

Terdahulu, pihak pembelaan menegaskan bahawa saksi pendakwaan, antaranya bekas ketua pegawai kewangan (CFO) 1MDB, Azmi Tahir, bekas pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu memberikan bukti yang samar-samar.

Penyokong Najib hadir di perkarangan mahkamah sebagai tanda solidariti

Ia berikutan saksi didakwa berhubung dengan individu yang gagal dipastikan di mana keberadaannya, seperti ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, Nik Faisal Ariff Kamil yang masih belum ditangkap dan Datuk Azlin Alias yang sudah meninggal dunia.

Berikutan itu, Hakim Sequerah menjelaskan bahawa komunikasi antara saksi dengan individu yang gagal ditemukan itu berlaku ketika urusan perniagaan dijalankan antara kedua-dua belah pihak.

Selepas pemeriksaan pada bahan bukti, Hakim Sequerah berkata komunikasi lisan itu boleh diterima di mahkamah.

"Saya dapati keterangan setiap saksi adalah konsisten dan kredibiliti mereka kekal utuh," ujarnya.

Justeru itu, mahkamah memerintahkan Najib untuk membela diri bagi empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB.

Hakim Sequerah menetapkan keputusan itu selepas mengambil kira penelitian rapi yang dibuat terhadap kes dan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib.

"Mahkamah memanggil tertuduh untuk membela diri atas kesemua 21 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram," katanya

Datin Seri Rosmah Mansor tiba di mahkamah untuk memberikan sokongan.

Sebelum itu, Hakim Sequerah meminta Najib untuk membela diri atas empat pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 berkaitan salah guna kuasa.

Bagaimanapun, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata anak guamnya tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan akan memberikan keterangan daripada kandang saksi.

Selepas jurubahasa mahkamah membacakan pilihan yang tersedia kepada Najib, bekas perdana menteri itu memilih untuk memberikan keterangan secara bersumpah.

Untuk rekod, bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.28 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Kesalahan didakwa dilakukan di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Manakala bagi pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac dengan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bekas Presiden Umno itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain