HASRAT seorang wanita meraih keuntungan berlipat kali ganda bertukar sebaliknya apabila RM80,000 yang dilaburkan lesap dalam pelaburan tidak wujud secara atas talian. Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi, berkata mangsa iaitu seorang suri rumah berusia 50 tahun mula melabur dalam skim pelaburan yang diiklankan di Facebook sejak Julai lalu. Berdasarkan laporan, mangsa tertarik menyertai pelaburan selepas melayari Facebook sebelum menekan pautan yang disambungkan ke aplikasi WhatsApp. "Sindiket menerangkan kepada mangsa berhubung pakej pelaburan yang ditawarkan, serta memintanya membayar duit pendaftaran pelaburan sebanyak RM1,235. "Dengan bayaran itu, mangsa ditawarkan satu pakej pelaburan dan menerima pulangan keuntungan kali pertama sebanyak RM8,000," katanya menerusi kenyataan. Ahmad Jamil berkata teruja dengan pulangan dalam masa singkat, mangsa berhasrat untuk menambah jumlah pelaburan bagi mendapatkan keuntungan yang lebih besar. "Mangsa mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak Julai lalu, dan membuat beberapa transaksi kemasukan wang secara berperingkat ke dalam lima akaun bank milik individu berbeza. "Jumlah keseluruhan wang dibayar adalah RM82,175, namun, mangsa berasa tertipu apabila gagal membuat pengeluaran keuntungan yang dipaparkan," katanya. Tambahnya, mangsa turut diarahkan untuk membuat bayaran tambahan sebanyak RM20,000 kononnya sebagai cukai pengeluaran wang. Susulan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Jasin dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube