suria

Rakyat Malaysia nikmati tol percuma 2 hari sempena Deepavali

Tol percuma diberikan kepada pengguna lebuh raya sempena Deepavali 2024.

BERITA baik buat semua pengguna lebuh raya di Malaysia yang merancang untuk bercuti sempena sambutan Deepavali pada Khamis ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata tol percuma akan diberikan bermula pukul 12.01 tengah malam 29 Oktober (Selasa) dan berakhir pada pukul 11.59 malam, 30 Oktober (Rabu).

Alexander berkata, pemberian tol percuma ini dianggarkan melibatkan kos berjumlah RM38 juta dan akan ditanggung kerajaan dengan bayaran pampasan dibuat kepada semua syarikat konsesi tol terlibat.

"Pengecualian tol hanya diberi kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara.

"Antaranya adalah Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA) Johor," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, pemberian tol percuma ini adalah selaras teras utama kerajaan Malaysia Madani iaitu kesejahteraan dan ihsan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat, di samping mengukuhkan budaya perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Sehubungan itu, beliau berharap pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang itu sebaiknya dan merancang perjalanan bagi melancarkan pergerakan trafik berdasarkan panduan disediakan di Facebook rasmi Kementerian Kerja Raya Malaysia.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain