suria

10 ditahan, pusat hiburan adakan parti tema Halloween diserbu

Sekumpulan pengunjung pusat hiburan ditahan dalam serbuan polis. -Gambar hiasan

SUASANA parti bertukar kecoh apabila ramai pengunjung di sebuah pusat hiburan cuba melarikan diri daripada satu serbuan polis di premis itu.

Bagaimanapun, cubaan mereka dihalang oleh pasukan polis dalam serbuan yang dilakukan, pada awal pagi Ahad.

Kelab itu dihiasi dengan hiasan bertemakan Halloween termasuk risalah yang mempromosikan acara tersebut.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, seramai 10 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dalam serbuan itu.

"Serbuan itu memeriksa 94 individu termasuk empat pekerja pusat hiburan dalam operasi Op Noda #KLStrikeForce, pukul 3.47 pagi.

"Hasil pemeriksaan itu, sembilan individu termasuk tiga wanita warga asing berusia antara 21 dan 54 tahun ditahan.

"Kita turut menahan seorang wanita dipercayai penjaga premis tersebut bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Rusdi berkata, operasi itu dijalankan oleh 31 pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur dan Ibu Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.

Tambah beliau, pasukan dari Jabatan Imigresen turut terlibat dalam operasi tersebut.

Menurut Rusdi, beberapa peralatan pusat hiburan itu turut dirampas bagi membantu siasatan.

"Tangkapan dan rampasan diserahkan ke IPD Wangsa Maju untuk tindakan lanjut," katanya.

Dilaporkan, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) (b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan (AHWP) 1992 dan Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat pas atau permit serta Seksyen 6(1) (c) akta yang sama iaitu gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan