PROGRAM Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bakal dilaksanakan bermula Januari depan, melibatkan peserta berumur antara 16 hingga 35 tahun. Menurut Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, PLKN 3.0 itu akan dilaksanakan secara berperingkat sebelum lebih ramai peserta dipanggil pada Jun 2025. "Kita akan mulakan program ini dengan pengambilan pertama pada awal tahun iaitu Januari depan. "Bagi pengambilan pertama, peserta akan ditempatkan di dua kem untuk kita 'pilotkan' (perintis) projek PLKN 3.0 ini yang akan membabitkan kira-kira 500 peserta sebelum dilaksanakan secara menyeluruh dengan bilangan lebih besar pada Jun tahun depan," ujarnya kepada media pada Sabtu. ARTIKEL BERKAITAN: PLKN dihidupkan semula, bakal dilaksanakan di kem tentera Tambah Adly, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM50 juta untuk memulakan pelaksanaan PLKN 3.0. Dalam pada itu, Adly berkata 13 kem tentera dikenal pasti sebagai lokasi PLKN 3.0, antaranya di Pahang dan Kuala Lumpur. "Kita akan menggunakan kem sedia ada dan sekarang ini dalam proses untuk baik pulih, namun bagi pengambilan sesi pertama, kita hanya akan menggunakan dua kem. "Namun menjelang 2026, semua 13 kem ini kita akan gunakan bagi menempatkan peserta selepas pelaksanaan sepenuhnya dijalankan," ujarnya lagi. Untuk rekod, PLKN diperkenalkan pada 2004 melibatkan pemilihan rawak belia berumur 18 tahun untuk program wajib tiga bulan. Ia telah dihentikan pada 2015 dan diperkenalkan semula pada tahun berikutnya dengan penyertaan akan dijadikan pilihan menjelang 2019. Walau bagaimanapun, ia telah dibatalkan pada Ogos 2018. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube