suria

Tragis! Kemalangan MPV rempuh jentera pengorek tanah libat 3 beranak

Keadaan menyayat hati di lokasi nahas. -Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang

SEPASANG suami isteri maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Mitsubishi Xpander yang dinaiki melanggar jentera pengorek tanah dalam kejadian sekitar pukul 2 pagi pada Sabtu.

Manakala anak lelaki kepada pasangan itu yang berusia 11 tahun mengalami kecederaan parah akibat kemalangan sama berhampiran Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Batu 10, Jalan Kuantan-Maran, Pahang.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian adalah Mohd Fadli Mohd Abidin, 42 dan Rohafiza Taha, 50, dari Taman Geliga Besar, Kemaman, Terengganu.

"Anak kepada pasangan itu mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan kepala, dia kini sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang.

"Siasatan awal mendapati MPV tersebut datang dari arah Gambang, Pahang dan menghala ke arah Kemaman, Terengganu.

"Kenderaan MPV yang dipandu mangsa pada mulanya bergerak lurus, namun secara tiba-tiba hilang kawalan dan kemudian melanggar jentera pengorek tanah yang diparkir di bahu jalan," ujarnya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah Wan Mohd Zahari, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan dua mangsa yang tersepit.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain