suria

Pelajar Malaysia bunuh bayi di UK dihukum penjara seumur hidup

Pembelaan Teo Jia Xin tidak diterima oleh juri. - Gambar hiasan (kanan)

PELAJAR Malaysia di United Kingdom yang meletakkan bayi dilahirkan ke dalam kotak bijirin dan kemudian menyembunyikannya dalam beg pakaian dihukum penjara seumur hidup dengan tempoh minimum 17 tahun.

Teo Jia Xin, 22, dijatuhi hukuman itu di Mahkamah Mahkota Warwick pada Jumaat.

Jia Xin yang merupakan penduduk di Coventry, London tiba di United Kingdom pada awal tahun ini untuk melanjutkan pengajian di Universiti Coventry.

Dia difahamkan menyembunyikan kandungannya dan selamat melahirkan bayi pada 4 Mac.

Selepas bersalin, Jia Xin meletakkan bayi itu dalam kotak bijirin yang ditutup dengan beg plastik, sebelum menyembunyikannya dalam beg pakaian.

Pihak polis tempatan menemukan bayi tersebut dua hari kemudian, namun jasad si kecil itu sudah tidak lagi bernyawa.

Jia Xin menafikan dia membunuh anaknya dengan sukarela dan menurut remaja itu dia mendengar suara-suara yang mengarahkan dirinya untuk mengambil nyawa bayi berkenaan.

Juri bagaimanapun menolak pembelaan Jia Xin dan mendapati dia bersalah atas tuduhan membunuh.

"Teo Jia Xin menyembunyikan kehamilannya daripada semua orang yang dikenali dan tiba di UK dengan mengetahui bahawa dia mungkin akan melahirkan bayi itu di sini.

"Dia mempunyai kemampuan untuk mendapatkan bantuan tetapi sebaliknya memilih untuk merahsiakannya, malah sanggup berbohong kepada semua orang," ujar James Leslie Francis daripada CPS.

Tambah Francis, bayi yang dilahirkan Jia Xin mempunyai peluang untuk selamat dan meneruskan hidup, tetapi dia sendiri mengambil keputusan untuk membunuh anaknya dengan meletakkan bayi malang itu ke dalam kotak bijirin.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain