suria

Tengku Muhammad Iskandar selamat nikahi Tengku Natasya dengan sekali lafaz

Al-Sultan Abdullah berkenan menyempurnakan Istiadat Merenjis kedua-dua mempelai.

PUTERA Sultan Pahang, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan pasangannya, Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan, selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz dalam Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja pada pukul 8.50 malam, Khamis.

Majlis penuh istiadat itu berlangsung di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz, Kuantan.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyaksikan istiadat berkenaan diiringi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Majlis penuh istiadat itu diserikan lagi dengan kehadiran Sultan Pahang diiringi Tengku Ampuan Pahang.

Turut berangkat adalah paduka-paduka anakanda yang mengenakan persalinan rona hijau.

Sejurus selesai akad nikah, Pengantin Putera Diraja diiringi untuk menunaikan solat sunat sebelum pengantin perempuan dibawa masuk ke Balai Mahkota untuk upacara penyerahan mas kahwin dan menyarung cincin.

Upacara kemudiannya diteruskan dengan Istiadat Merenjis dimulakan oleh Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah Aminah dan Tengku Hassanal.

ARTIKEL BERKAITAN: Seri pengantin kembali hiasi Istana Abdulaziz... Istiadat Perkahwinan Tengku Muhammad Iskandar berlangsung 3 hari

Upacara Perkahwinan Diraja akan diteruskan pada Jumaat di mana akan diadakan Istiadat Berinai bagi pasangan pengantin Diraja ini manakala Istiadat Persandingan akan diadakan pada Ahad ini.

Pada 28 Oktober pula akan berlangsung Istiadat Santap Nasi Adap-Adapan dan Istiadat Bersiram yang juga diadakan di Istana Abdulaziz sebelum Istiadat Menutup Kerja diadakan dengan acara menurunkan Bendera Istiadat Menutup Kerja diikuti dengan 16 das tembakan meriam.

Tengku Muhammad Iskandar selamat disatukan dengan pasangannya Tengku Natasya pada Khamis malam.

Semua istiadat disiarkan secara langsung melalui dua buah layar besar yang disediakan di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan sebuah layar di Dataran Bandar Diraja Pekan.

Beberapa acara seperti karnival jualan turut diadakan di kedua-dua lokasi iaitu sepanjang tarikh Istiadat Perkahwinan Diraja berlangsung.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain