SEORANG pemandu berusia 28 tahun direman kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan seorang murid yang sedang melintas jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan Port Dickson, pada Khamis. Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Port Dickson, Superintendan Maslan Udin, berkata ujian menunjukkan bacaan alkohol pemandu itu sebanyak 230mg alkohol/100ml darah (lebihan 153mg alkohol/100ml darah). "Suspek direman empat hari bermula Khamis hingga Ahad untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. Menurut Maslan, kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi dan seorang murid lelaki tahun lima sekolah berkenaan yang sedang melintas jalan berlaku pada kira-kira pukul 7.10 pagi Khamis. ARTIKEL BERKAITAN: Penganggur bawa Myvi redah masuk sekolah, cuba bunuh remaja perempuan sedang main bola tampar "Sebaik tiba di lokasi kejadian dan ketika murid sekolah itu melintas jalan ke sekolah, pemandu kereta gagal mematuhi lampu isyarat merah dan melanggar murid berkenaan. "Akibat kemalangan itu, murid terbabit mengalami kecederaan patah pada ibu jari kaki kanan serta luka di kaki dan tangan," katanya lagi. Terdahulu, video memaparkan insiden berkenaan yang dirakam oleh kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan lain menjadi tular di laman sosial. Rata-rata warga maya melontarkan kecaman terhadap sikap pemandu Perodua Myvi tersebut yang cuai sehingga hampir meragut nyawa murid sekolah. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube