suria

Jauh ulang alik ziarah isteri hidap kanser tahap 4, Cikgu Din dibenar pindah sementara ke Kelantan

Fadhlina (kanan) berkata guru itu akan ditempatkan berhampiran pasangannya.

SEORANG guru dikenali sebagai Cikgu Din yang tular kerana diuji dengan masalah kesihatan isteri akan ditempatkan di sekolah berhampiran pasangannya buat sementara waktu.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada Sabtu.

Menurut Fadhlina, arahan penempatan sementara itu dibuat selepas Kementerian Pendidikan (KPM) berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dan Kelantan.

"KPM merakamkan ucapan simpati kepada Cikgu Din atas keadaan yang berlaku terhadapnya dan kedua kita akan uruskan dengan sebaik-baiknya.

"Buat masa ini, kita bagi ruang untuk dia bersama isterinya melalui arahan penempatan sementara dalam tempoh yang amat memerlukan ini.

"Jadi kita doakan sekali lagi supaya Cikgu Din diberikan kekuatan dan kesabaran manakala isterinya juga diberikan kesembuhan," ujarnya kepada media.

ARTIKEL BERKAITAN: Tertekan ulang-alik jaga isteri sakit kanser, Ustaz Izzuddin kini hidap MDD... Pertukaran dari Sarawak ke Kelantan tak lulus, belum cukup 3 tahun

Dalam pada itu, Fadhlina juga menafikan pihaknya hanya mengambil tindakan selepas isu berkenaan tular di media sosial.

"Ini tidak betul, saya ingat proses perbincangan dan juga bagaimana kita menawarkan alternatif-alternatif pada Cikgu Din telah berlangsung sebelum itu lagi.

"Bagaimanapun saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana perhatian itu telah pun sampai dan kita lihat begitu ramai masyarakat yang empati kepada keadaan Cikgu Din.

"Kita akan ambil perhatian penuh kepada semua (kes) berdasarkan pertimbangan-pertimbangan yang ada," katanya.

Untuk rekod, mStar pada Khamis melaporkan kisah guru itu yang akhirnya mendapat perhatian KPM.

Sebelum itu, tular kisah Cikgu Din atau Muhammad Izzuddin Izhar yang terpaksa berulang-alik untuk menziarahi isterinya, Nur Atiqah My Yusoff.

Guru itu bertugas di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ming Wok, Kanowit, Sarawak, manakala isterinya yang menderita kanser tulang rawan tahap empat menetap di Kota Bharu, Kelantan.

Permohonannya untuk bertukar tempat perkhidmatan bagaimanapun sebelum ini gagal kerana tidak memenuhi syarat permohonan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain