SEORANG ahli farmasi dari Malaysia berusia 29 tahun yang bekerja di Melbourne, Australia, disyaki dibunuh oleh lelaki yang dipercayai menghidap skizofrenia. Agensi berita Australia, 7 News melaporkan, Kum Chuan Leong yang bekerja di sebuah syarikat perkhidmatan kesihatan awam sejak 2021 ditemukan mati oleh rakan sekerjanya di kediamannya di Bellfield dekat Ivanhoe, Melbourne pada kira-kira pukul 11.30 pagi Rabu lalu. Rakan sekerja mencari Leong yang didapati gagal hadir ke tempat kerja. Agensi berita itu melaporkan bahwa seorang lelaki gelandangan berusia 54 tahun ditahan, dikaitkan dengan kes berkenaan dan didakwa di mahkamah atas pembunuhan Leong, keesokan harinya. Dilaporkan suspek yang dikenali sebagai Simon Hunter, dihadapkan dengan dakwaan di Mahkamah Majistret Melbourne, melalui pautan video, dari selnya di Balai Polis Heidelberg. Turut dilaporkan semasa prosiding mahkamah melalui pautan video, lelaki itu tidak berbaju di hadapan Majistret Tara Hartnett, yang kemudian mengarahkan kakitangan reman memindahkannya ke bilik di mana dia boleh berkomunikasi dengannya. Perbicaraan ditangguhkan sementara sehingga Hunter muncul semula dan dia bercakap tidak jelas. Peguam Georgia Karvela memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya menghidap skizofrenia. Mahkamah diberitahu bahawa Hunter tidak mengambil ubat-ubatannya selama dua minggu. Sementara itu, majikan Leong, Ketua Eksekutif Eastern Health, David Plunkett memberitahu bahawa pemergian Leong adalah satu kejadian yang tragis. "Dia akan diingati kerana semangat, kebaikan dan dedikasinya kepada pasukannya dan komuniti yang lebih luas. "KC baru berusia 29 tahun, dan tragedi ini akan dirasai ramai,” katanya. Turut dilaporkan keluarga Leong ke Melbourne dari Malaysia pada Khamis lalu, tetapi tidak menghadiri perbicaraan mahkamah. Hunter kini direman dan akan kembali dihadapkan ke mahkamah pada 16 Januari tahun depan (2025). -The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube