suria

Suami tumbuk isteri hingga cedera terima padah, dipenjara sebulan

Seorang lelaki dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan menumbuk isterinya hingga cedera. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Batu Pahat, pada Isnin atas pertuduhan menumbuk isterinya hingga cedera dalam kejadian 19 September lalu.

Kontraktor berusia 34 tahun itu dijatuhi hukuman penjara sebulan selepas mengaku bersalah mencederakan isterinya, gara-gara mangsa memintanya berhenti di kedai untuk membeli makanan.

Tertuduh membuat pengakuan itu ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Suhaila Shafi'uddin selepas pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa terhadapnya.

Bagaimanapun, tertuduh sudah dibebaskan pada Isnin berikutan kuat kuasa hukuman penjara sebulan itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 20 September lalu.

Tertuduh sebelum itu ditahan selama 40 hari sementara menunggu kes disebut semula pada Isnin.

Bapa kepada seorang anak itu membuat rayuan terhadap pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap isterinya berusia 32 tahun dengan menumbuk mangsa sebanyak enam kali.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mencederakan isterinya dalam kereta di Jalan Tukas, Taman Soga, di Batu Pahat, pada pukul 2.20 petang, 19 September lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya. Manakala Seksyen 326A, penjara dua kali ganda tempoh maksimum dikenakan atas sabitan kesalahan mengikut Seksyen 323.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain