ORANG awam yang mengunjungi Pantai Tanjung Bidara, Masjid Tanah, Melaka gempar apabila mayat seorang wanita ditemukan terdampar di pesisir pantai, pada pagi Selasa. Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah, mayat mangsa yang dikenal pasti sebagai Maszura Mahat, 40, ditemukan pada kira-kira pukul 7.25 pagi. Ujarnya, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap dan memakai pakaian renang. ARTIKEL BERKAITAN: Tiga sekeluarga lemas di Batang Kali... Bapa ‘pergi’ bersama dua anak serentak "Beberapa barangan peribadi mangsa seperti selipar, sweater dan kunci chalet dijumpai di atas tambak batu pantai. "Semakan di chalet berhampiran mendapati mangsa baharu sahaja mendaftar masuk seorang diri untuk dua malam sejak semalam (Isnin)," katanya kepada pemberita. Katanya, mangsa dipercayai ke pantai itu seorang diri sebelum dipercayai lemas. "Hasil soal siasat ke atas keluarganya, mangsa sering berjalan-jalan seorang diri," katanya lagi. Tambahnya, pemeriksaan pada tubuh badan mangsa tidak menjumpai sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Mayat mangsa dihantar di Unit Forensik, Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube