suria

Jurulatih nampak kesan cedera di tubuh, pegawai kadet UPNM dakwa dibuli senior

Mangsa buli akan menghadapi trauma untuk jangka masa yang lama. -Gambar hiasan

KISAH kematian tragis pegawai kadet laut Universiti Pertahanan Nasional (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain akibat dibuli pada 2017 benar-benar mengejutkan negara.

Dalam kes terbaharu, seorang pegawai kadet tahun dua di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM, Sungai Besi pula dipercayai menjadi mangsa buli dan dera.

Menurut laporan Harian Metro yang memetik sumber, difahamkan mangsa yang mengambil jurusan kejuruteraan menjadi mangsa buli penuntut senior.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes kematian Zulfarhan: 6 bekas penuntut UPNM dihukum gantung

Sumber itu memaklumkan, kejadian berkenaan terbongkar selepas pemeriksaan berkala dijalankan jurulatih yang bertugas ketika itu menyedari kesan kecederaan pada tubuh mangsa.

Sehingga kini belum ada kenyataan rasmi daripada pihak berkaitan namun portal berkenaan memaklumkan, Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kejadian itu.

Sebagai rekod, Allahyarham Zulfarhan Osman menghembuskan nafas terakhir selepas dipukul serta tubuhnya ditekap menggunakan seterika wap.

Pada 23 Julai lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan enam bekas penuntut UPNM dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana didapati membunuh Allahyarham.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain