suria

Vivy, suami akhirnya jawab isu FashionValet... Mohon maaf kepada pelabur, lepaskan jawatan

Vivy (kiri) dan Fadzaruddin tampil memberi penjelasan berhubung isu FashionValet. Foto IG Vivyyusof

PASANGAN usahawan Datin Vivy Yusof dan suami, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar memohon maaf dan melepaskan jawatan mereka dalam platform e-dagang, FashionValet ekoran kemelut pelaburan membabitkan dana awam.

Pengasas bersama FashionValet itu berkata, mereka bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan pelaburan oleh Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB).

"Kami ingin menyatakan dari awal lagi bahawa kami bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan pelaburan ini.

"Sebagai pihak yang bertanggungjawab menguruskan syarikat, tanggungjawab terletak pada kami dan hakikatnya kami sudah mengecewakan pelabur.

"Kami kecewa dengan diri sendiri dan kesal kerana menjadi seperti ini. Kami benar-benar mohon maaf," kata mereka dalam satu kenyataan bersama di Instagram pada Jumaat.

Vivy merupakan ketua pegawai eksekutif syarikat manakala Fadzaruddin adalah pengarah eksekutif FashionValet.

Pada Selasa lalu, Kementerian Kewangan berkata, Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta dengan menjual saham dalam platform e-dagang fesyen, Fashion Valet.

Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan awal RM47 juta yang dibuat oleh Khazanah dan PNB.

Vivy dan Fadzaruddin berkata, mereka melabur banyak dalam sistem teknologi, mengembangkan pasukan terlalu cepat serta menambah terlalu banyak kedai runcit fizikal.

Mereka turut melakukan pengembangan perniagaan berdasarkan jangkaan pertumbuhan berterusan, biarpun ketika pandemik COVID-19.

"Sebanyak mana kami cuba mengurangkan kos untuk menjimatkan aliran tunai, termasuk menutup platform e-dagang, namun keadaan menjadi teruk.

"Banyak perkara yang kami harap dapat dilaksanakan secara berbeza, begitu banyak faktor lain yang diharap dapat pertimbangkan sebelum memulakan rancangan pengembangan kami," menurut kenyataan itu.

Vivy dan Fadzaruddin turut memohon maaf berikutan kontroversi yang melanda telah menjejaskan PNB dan Khazanah.

"Mereka (PNB dan Khazanah) sentiasa bertindak secara profesional dan demi kepentingan organisasi mereka.

"Kami berharap kekecewaan ini tidak menjadi penghalang dan mereka akan terus menyokong usahawan tempatan lain," kata mereka lagi.

Pada Khamis, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menggesa pihak terbabit supaya memberikan penjelasan bagi menangani kebimbangan awam dengan segera kerana ia melibatkan dana awam.

Menegaskan tentang kepentingan ketelusan, beliau memberitahu ramai dalam kalangan rakyat membabitkan persoalan berhubung penjualan itu, terutamanya ia menjadi kepentingan awam mengenai penggunaan dana awam.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain