BELANJAWAN 2025 menekankan keutamaan kerajaan untuk meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti, terutamanya bagi golongan kurang berkemampuan. Ketua Pegawai Eksekutif Teach For Malaysia (TFM), Chan Soon Seng berkata, ini akan memastikan semua pelajar dapat berjaya di sekolah tanpa mengira latar belakang sosio-ekonomi mereka. Beliau memuji kerajaan atas ‘pelaburan signifikan’ yang dilakukan dalam meningkatkan sistem pendidikan seperti peningkatan peruntukan bantuan langsung untuk keluarga berpendapatan rendah seperti Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) akan menggalakkan lebih ramai murid hadir ke sekolah. “Kami memuji tumpuan yang diberikan kepada murid yang paling memerlukan,” katanya. Chan menekankan kepentingan menarik bakat terbaik ke dalam profesion perguruan. Tambahan pula, katanya dana menaik taraf dan penyelenggaraan sekolah di seluruh negara serta bantuan tambahan sekolah luar bandar akan memperbaiki persekitaran pembelajaran pelajar dan membantu mengatasi ketidaksamaan dalam sumber mahupun peluang. “Namun, adalah penting untuk memastikan peruntukan berkaitan infrastruktur ini digunakan dengan cekap dengan ketirisan minimum dan projek diselesaikan dalam tempoh ditetapkan,” katanya. ARTIKEL BERKAITAN: Belanjawan 2025 pemacu reformasi pendidikan, beri manfaat kepada semua ARTIKEL BERKAITAN: Transformasi lebih mantap! Laporan PPPM bagi tahun 2023 bukti kejayaan, rapatkan jurang pendidikan Menyambut baik peningkatan peruntukan pembangunan untuk pendidikan prasekolah, beliau berkata, ia menutup jurang pembelajaran lebih awal sebelum sekolah rendah, adalah penting bagi meningkatkan hasil pendidikan dan menggalakkan kebersamaan. “Memperluaskan akses kepada penjagaan awal kanak-kanak berkualiti adalah langkah positif, dan kami mengesyorkan kerajaan agar mempertimbangkan dengan menjadikan pendidikan prasekolah wajib dan percuma untuk sekurang-kurangnya setahun bagi mencapai pendaftaran prasekolah universal,” tambahnya. Guru berkualiti Kekuatan sebenar untuk meningkatkan hasil pendidikan terletak pada meningkatkan kualiti pengajaran. Chan menekankan kepentingan menarik bakat terbaik ke dalam profesion perguruan dengan menjadikannya lebih menyerlah dengan menyokong guru berterusan bagi memastikan pelajar menerima pendidikan terbaik. “Memandangkan kualiti sistem pendidikan tidak boleh melebihi kualiti gurunya, peningkatan peruntukan untuk menyokong pembinaan kapasiti guru adalah langkah ke arah yang betul,” katanya. Menurutnya, TFM menyambut baik peningkatan elaun sara hidup bagi siswa guru di Institut Pendidikan Guru (IPG), bersama dengan pelarasan gaji yang diumumkan sebelum ini untuk semua penjawat awam, termasuk guru. “TFM mengalu-alukan peningkatan dalam peruntukan untuk siswa guru bagi praperkhidmatan dan dalam perkhidmatan. “Terdapat peningkatan hampir dua kali ganda dalam peruntukan buat institusi yang menumpukan pada pembangunan guru, iaitu IPG dan Institut Aminuddin Baki (IAB),” kata Chan. Kekuatan sebenar untuk meningkatkan hasil pendidikan terletak pada kualiti pengajaran. Pada masa sama, Chan turut memuji peningkatan peruntukan untuk latihan guru dalam perkhidmatan dari RM14 juta pada 2024 kepada RM19.6 juta pada 2025 yang mana peningkatan 40 peratus menunjukkan pengiktirafan kerajaan terhadap kepentingannya. “Sokongan kepada guru sedia ada adalah penting kerana kebanyakan mereka yang mengajar hari ini akan kekal dalam profesion ini selama beberapa dekad akan datang. “Walaupun peningkatan ini adalah langkah positif, impak sebenar bergantung kepada sejauh mana sumber ini digunakan secara efektif untuk menyediakan pembangunan profesional berterusan (CPD) yang berkualiti tinggi dan disesuaikan dengan keperluan guru, memperkasakan mereka untuk lebih efektif di dalam kelas,” katanya. Sementara itu, kata Pengarah Urusan LeapEd Services, Nina Adlan Disney, memandangkan sebahagian besar peruntukan RM64.1 bilion dibelanjakan untuk gaji 420,000 guru di negara ini, maka adalah wajar untuk meningkatkan perbelanjaan tersebut dengan menyokong mereka supaya menjadi lebih efektif, “Tidak ada gunanya meningkatkan akses jika kita tidak menutup jurang pencapaian. Ini hanya boleh dilakukan dengan memfokuskan perhatian kepada apa yang berlaku di sekolah dan di dalam kelas serta meningkatkan kaedah guru mengajar dan cara murid belajar. “Satu-satunya cara untuk meningkatkan pencapaian murid secara meluas adalah dengan melabur dalam guru yang sedia ada,” katanya. Nina memuji tindakan kerajaan melancarkan inisiatif pemulihan pembelajaran Program Anak Kita. Menurut Nina, kajian menunjukkan bahawa di dalam kelas dengan guru yang paling efektif, murid dari latar belakang kurang bernasib baik belajar pada kadar yang sama seperti mereka dari latar belakang yang lebih baik. Tambahnya, kerajaan selayaknya dipuji kerana mengambil tindakan dengan melancarkan inisiatif pemulihan pembelajaran Program Anak Kita dengan mengambil pendekatan masyarakat secara menyeluruh dengan kerjasama antara Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan, universiti serta gabungan organisasi masyarakat sivil. Selangkah ke hadapan Belanjawan 2025 merupakan langkah penting ke hadapan, mengukuhkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti, kata Chan. Namun, adalah penting bahawa reformasi pendidikan dipertimbangkan dengan teliti bukan sahaja dari segi peruntukan tetapi juga di peringkat dasar dan pelaksanaan sekiranya mahu melihat peningkatan yang ketara dalam hasil pendidikan. “Banyak cabaran yang dihadapi oleh sistem pendidikan, memerlukan penyelesaian yang kukuh bagi menangani isu sistemik. “Walaupun peruntukan berfungsi sebagai pemudah cara, impak sebenar akan terhad tanpa polisi yang direka dengan baik dan pelaksanaan yang berkesan. “Adalah penting bahawa peruntukan bukan sahaja sampai ke peringkat bawah tetapi juga dilindungi daripada kebocoran melalui usaha berterusan demi memastikan penggunaan yang cekap,” ujarnya. Justeru katanya, salah satu cara kerajaan boleh memastikan penyampaian berkualiti tinggi adalah dengan memanfaatkan kepakaran organisasi sektor swasta dan organisasi masyarakat sivil (CSO) dalam bidang tertentu, serta mewujudkan lebih banyak peluang untuk kerjasama dan perkongsian awam-swasta yang lebih kukuh. Nina berkata, Belanjawan 2025 akan dikenang dalam sejarah negara sebagai peruntukan terbesar untuk pendidikan dan kerajaan sewajarnya dipuji atas pelaburan dan komitmennya yang berterusan demi masa depan negara. Tambah beliau, meskipun tumpuan kepada akses, infrastruktur dan infrastruktur adalah penting dan dipuji, namun adalah kritikal untuk memastikan ‘software’ dan ‘hardware’ sepadan. Belanjawan 2025 menekankan aspek meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti. “Untuk mencapai aspirasi pendapatan tinggi dalam Ekonomi MADANI, kita perlu membenarkan kenaikan gaji dengan bakat yang lebih baik dan produktiviti yang meningkat. “Di luar keperluan ekonomi, peningkatan hasil pendidikan membawa pelbagai manfaat sosial seperti kos keadilan jenayah lebih rendah, kos penjagaan kesihatan lebih rendah, kohesi dan keharmonian sosial lebih besar serta kestabilan politik. “Oleh itu, selain persekitaran fizikal, kita perlu segera melabur dalam inisiatif yang akan memberikan pulangan dalam hasil,” katanya. Menurut Nina, pelaburan dalam pendidikan seharusnya disertai dengan pendekatan yang memberi tumpuan pada hasil. “Di kebanyakan negara, peruntukan awam diukur dan dipantau mengikut sejauh mana perkhidmatan disampaikan mencapai hasil dimaksudkan untuk memastikan tumpuan diberikan kepada keputusan, bukan sekadar usaha,” katanya. Tambahnya, Belanjawan 2025 seharusnya memberi tumpuan terhadap kualiti dan pembangunan kapasiti dengan memperluaskan peluang pembangunan profesional berkualiti, seterusnya memperkasakan guru, pemimpin sekolah dan pentadbir. “Ini akan membolehkan autonomi lebih besar untuk menilai dan melaporkan secara autentik dan membawa perubahan bermakna kepada sistem. “Dengan cara ini, anak-anak mendapat pendidikan yang sewajarnya di samping melahirkan generasi masa depan yang diperlukan negara,” katanya. *TFM merupakan organisasi bebas tanpa keuntungan yang berusaha memberikan semua kanak-kanak peluang untuk merealisasikan potensi mereka melalui pendidikan berkualiti, sementara LeapEd adalah sebuah CSO yang berusaha ke arah keadilan dan kualiti pendidikan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube