suria

Belanjawan 2025 pemacu reformasi pendidikan, beri manfaat kepada semua

Belanjawan 2015 mendukung falsafah dan matlamat pendidikan STEM melahirkan murid celik ilmu. -Gambar hiasan

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) komited dalam memastikan peruntukan Belanjawan 2025 memberi impak positif kepada agenda reformasi negara, menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, kementerian memikul tanggungjawab besar untuk memastikan setiap peruntukan belanjawan memenuhi objektif melalui pelaksanaan agenda reformasi pendidikan yang dirancang rapi dan tertumpu kepada asas perubahan.

“Dalam tempoh setahun, agenda reformasi ini memberi fokus kepada intervensi kurikulum, memartabatkan Bahasa Malaysia dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pendidikan digital serta penyelarasan pendidikan prasekolah.

“Ini akan meningkatkan usaha mencapai piawaian pendidikan global seperti digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025,” katanya dalam satu kenyataan.

Belanjawan MADANI ketiga ini, jelas beliau, merupakan satu usaha penting bagi memastikan objektif pelan tersebut dicapai dalam tempoh yang ditetapkan dan untuk melindungi kesejahteraan rakyat serta negara.

Fadhlina menegaskan peruntukan yang diterima KPM menerusi Belanjawan 2025 akan memberi manfaat kepada semua.

Fadhlina menegaskan peruntukan yang diterima KPM menerusi Belanjawan 2025 akan memberi manfaat kepada semua.

Menurut Fadhlina, aspek pendidikan terus diberi keutamaan demi memastikan hasrat membina Malaysia MADANI yang mampan dan berdaya saing tercapai. Kementerian yang diterajui beliau menerima peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2025, iaitu sebanyak RM64.1 bilion.

Fadhlina juga menegaskan kerajaan memberi keutamaan untuk memperbaiki infrastruktur sekolah dan menyediakan persekitaran pembelajaran yang selesa bagi setiap murid.

“Kerajaan juga komited terhadap pendidikan untuk murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) serta dalam membantu sekolah-sekolah autistik swasta yang berdaftar dengan kementerian,” katanya, sambil menambah kementerian menggalakkan penglibatan entiti swasta dan syarikat kerajaan dalam membiayai program dengan menyediakan kemudahan lain di sekolah, seperti dewan terbuka.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, Belanjawan 2025 mencerminkan ketelusan dan mengambil kira pandangan rakyat.

KPM terus komited dalam memberikan persekitaran sektor pendidikan terbaik.

KPM terus komited dalam memberikan persekitaran sektor pendidikan terbaik.

Menurutnya, peningkatan peruntukan sebanyak RM5.4 bilion berbanding 2024 menunjukkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh sektor pendidikan negara dan kebajikan para pendidik.

“Kami memuji usaha Perdana Menteri untuk memastikan persekitaran pembelajaran yang selesa, selamat dan bermakna bagi kanak-kanak memperoleh ilmu,” katanya sambil menambah NUTP amat menghargai komitmen kerajaan dalam memastikan kesejahteraan pelajar dan guru di sekolah-sekolah.

ARTIKEL BERKAITAN: Utamakan aspek pendidikan berkualiti, Belanjawan 2025 beri tumpuan golongan paling memerlukan

ARTIKEL BERKAITAN: Transformasi lebih mantap! Laporan PPPM bagi tahun 2023 bukti kejayaan, rapatkan jurang pendidikan

Beliau juga memuji peruntukan RM2 bilion untuk penyelenggaraan sekolah dengan RM1 bilion khusus bagi membaik pulih bilik darjah usang dan RM1 bilion lagi untuk menaik taraf prasarana daif di 543 buah sekolah, terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Katanya, peruntukan tersebut merupakan langkah penting bagi memastikan sekolah terus beroperasi dengan selamat dan efisien.

Membaik pulih infrastruktur sekolah dan bilik darjah antara fokus utama KPM.

Membaik pulih infrastruktur sekolah dan bilik darjah antara fokus utama KPM.

Selain itu, kerajaan juga meluluskan pembinaan 44 buah sekolah baharu di negeri seperti Johor, Selangor, Sabah, Kedah dan Sarawak, meningkat sebanyak 18 buah sekolah baharu berbanding 2024.

Langkah ini, kata beliau, amat dialu-alukan kerana ia akan membantu menangani isu kesesakan di sekolah.

"NUTP juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas usaha penyelenggaraan 8,300 tandas sekolah dalam masa yang singkat pada 2024. Bagi 2025, kerajaan memperuntukkan tambahan RM100 juta untuk membaik pulih kantin dan musolla yang akan meningkatkan lagi kualiti kemudahan sekolah.

"Dengan peruntukan RM5.3 bilion untuk 17 jenis bantuan pendidikan, kerajaan terus menunjukkan keprihatinan terhadap murid-murid daripada keluarga berpendapatan rendah," katanya.

Lebih 800,000 murid bakal menikmati manfaat program RMT yang disediakan.

Lebih 800,000 murid bakal menikmati manfaat program RMT yang disediakan.

Beliau turut menyatakan bahawa RM870 juta untuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bakal memanfaatkan lebih 800,000 murid.

Menurutnya, usaha ini sebagai satu langkah terpuji untuk memastikan kebajikan pelajar terjaga dan berharap NUTP berharap peruntukan ini akan diuruskan dengan telus oleh pihak sekolah untuk memenuhi kepentingan terbaik pelajar.

Beliau berkata, Belanjawan 2025 juga meringankan beban ibu bapa dengan peruntukan sebanyak RM800 juta untuk Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bagi pelajar dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima, tanpa mengira pendapatan ibu bapa.

“Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) juga dinaikkan kepada RM180 juta, menunjukkan peningkatan sebanyak RM50 juta berbanding dalam Belanjawan 2024,” ujarnya.

Fouzi melihat Belanjawan 2025 banyak memberi manfaat kepada pendidikan negara.

Fouzi melihat Belanjawan 2025 banyak memberi manfaat kepada pendidikan negara.

Dalam pada itu, Fouzi berkata, NUTP menghargai kenaikan 15 peratus dalam Bantuan Geran Per Kapita (PCG) untuk pendidikan TVET, kerana merupakan langkah penting dalam menangani kos yang meningkat akibat kenaikan harga yang sebelum ini memberi kesan kepada pelaksanaan TVET di sekolah-sekolah.

“Kami juga berterima kasih atas kenaikan elaun sara hidup untuk siswa guru di bawah Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP), daripada RM430 kepada RM530 sebulan, menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan pendidik masa depan,” katanya.

Tambah beliau, NUTP yakin peruntukan tersebut akan memberi manfaat besar kepada sektor pendidikan negara, terutamanya dalam aspek penambahbaikan infrastruktur sekolah dan kebajikan pelajar serta guru.

“Walau bagaimanapun, kami berharap semua inisiatif yang dirancang akan dilaksanakan secara efektif dan menyeluruh demi memastikan setiap murid mempunyai akses kepada pendidikan berkualiti.

“NUTP akan terus menyokong sebarang usaha ke arah mempertingkatkan sistem pendidikan negara dan berharap Belanjawan 2025 menjadi permulaan kepada transformasi yang lebih cemerlang dalam pendidikan,” katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain