suria

Serang guru dan 2 pelajar di UK guna tukul, remaja Malaysia dipenjara seumur hidup

Thomas berdepan hukuman penjara seumur hidup akibat keganasan dilakukan. -Foto Devon dan Cornwall Police

SEORANG remaja Malaysia dioenjara seumur hidup kerana menyerang dua pelajar dan seorang guru dalam kejadian di United Kingdom.

Thomas Wei Huang, menyerang dua budak lelaki menggunakan tukul di asrama mereka di Sekolah Blundell di Tiverton, Devon, pada Jun 2023 ketika dia berusia 16 tahun.

Kedua-dua mangsa mengalami keretakan tengkorak dan kecederaan pada tulang rusuk, limpa dan paru-paru, dengan seorang daripadanya ditusuk paru-paru.

Remaja itu juga menyerang seorang guru yang cuba campur tangan, memukul kepalanya berulang kali dengan tukul.

Pertelagahan dengan salah seorang mangsa tercetus apabila pelaku merasakan dirinya dihina semasa kelas Sains serta berlaku ketegangan melibatkan seorang pelajar perempuan.

Semasa perbicaraan, mahkamah mengesahkan remaja yang kini berusia 17 tahun itu begitu taksub dengan tukul dan pembunuhan ganas.

Seorang ahli psikologi mencadangkan bahawa tindakan Huang boleh dikaitkan dengan 'keganasan semasa tidur'.

Manakala, seorang lagi pakar berhujah bahawa dia mungkin sedar semasa serangan itu.

Huang mendakwa dia menyimpan tukul di tepi katilnya untuk 'perlindungan' daripada 'zombi apokalips' dan menyatakan penyesalan atas tindakannya.

Susulan itu, dia dihukum penjara seumur hidup dengan tempoh minimum 12 tahun.

Peguam mewakili Huang, Kerim Fuad KC, menyifatkan kes itu sebagai tragis dan luar biasa kerana tekanan melampau akibat peperiksaan, isu peribadi dan dakwaan eksploitasi seks.

Terdahulu identiti pelajar itu dirahsiakan daripada orang ramai tetapi akhirnya dibenarkan namanya didedahkan selepas mengambil kira peningkatan kes seumpama itu sejak kebelakangan ini. -Sky News

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain