suria

Ambil pekerja asing? Majikan perlu tahu perkara ini

Majikan di Malaysia mengambil pekerja asing untuk beberapa sektor di dalam negara. -Gambar hiasan

MAJIKAN di negara ini digesa mendaftar dan mencarum pekerja asing termasuk ekspatriat serta pekerja domestik yang layak di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Sehubungan itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kini melancarkan operasi untuk mengambil tindakan terhadap majikan yang gagal mematuhi keperluan tersebut.

Setakat ini, dianggarkan seramai 300,000 pekerja asing masih belum didaftarkan dan mencarum dengan PERKESO.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, bermula Jumaat, operasi yang diberi nama Ops Kesan akan dilaksanakan di semua 54 pejabatnya di seluruh negara.

“Berdasarkan data yang kami kumpulkan daripada Jabatan Imigresen, terdapat kira-kira 2.4 juta pekerja asing berdaftar di negara ini, tetapi yang mendaftar dengan PERKESO kurang daripada 2 juta.

“Sehingga September, hanya 88 peratus pekerja asing yang berdaftar di bawah PERKESO, di mana 59 peratus adalah pekerja domestik,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat PERKESO di Kuala Lumpur.

Mohammed Azman (tengah) pada sidang media Ops Kesan Pekerja Asing. Turut serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PERKESO, Azirruan Arifin (kiri) dan Ketua Bahagian Pekerja Asing, Hairiri Harun. Foto Glenn Guan (SMG)

Mohammed Azman menambah, operasi ini yang juga melibatkan pihak berkuasa lain berkaitan bertujuan memberikan perlindungan menyeluruh kepada pekerja asing yang bekerja di sini.

Beliau menekankan bahawa operasi ini akan diteruskan, sekurang-kurangnya sehingga semua pekerja asing yang berdaftar dilindungi di bawah jaminan sosial.

“Kami ingin mencapai sasaran untuk menyelaraskan data (pekerja asing yang berdaftar) dengan Jabatan Imigresen.

“Masih terdapat beberapa ratus ribu yang belum didaftarkan, oleh itu, kami akan melaksanakan operasi ini secara berterusan.

"Ramai pekerja asing dibawa masuk oleh syarikat tertentu dan kemudiannya bekerja dengan syarikat lain setelah tiba di Malaysia. Kumpulan ini juga perlu didaftarkan di bawah PERKESO selagi mereka bekerja secara sah," tambahnya.

Mohammed Azman berkata, majikan tidak seharusnya memberi alasan untuk tidak mematuhi keperluan sama seperti yang diterapkan kepada pekerja tempatan.

“Jika majikan tidak mendaftar dan mencarum dengan PERKESO, siapa yang akan menanggung kos (dalam kes kemalangan kerja)?

“Apabila menggaji pekerja tempatan anda mencarum untuk PERKESO, jadi mengapa ada perbezaan apabila melibatkan pekerja asing? Saya tidak nampak alasan untuk bersikap ‘double standard’,” katanya ketika ditanya mengenai implikasi terhadap majikan yang menggaji pekerja asing.

Beliau menggesa semua syarikat yang menggaji pekerja asing untuk mencarum dengan PERKESO demi manfaat pekerja tersebut.

Kata Mohammed Azman, majikan boleh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun jika gagal berbuat demikian.

“Jika anda fikir mematuhi undang-undang itu mahal, cubalah untuk tidak mematuhi,” tegasnya.

Beliau mendedahkan PERKESO telah mengeluarkan sebanyak 24,801 notis kompaun kepada majikan kerana gagal mematuhi undang-undang, dengan 25,574 dikenakan pertuduhan untuk pelbagai kesalahan sejak skim perlindungan ini diperkenalkan pada 2009 sehingga Oktober 2024.

Jumlah notis kompaun direkodkan berjumlah kira-kira RM19.1 juta setakat ini.

Sebelum ini, mulai 1 Julai, pekerja asing akan menerima manfaat di bawah Skim Keilatan PERKESO, termasuk perlindungan 24 jam dan kos repatriasi pengebumian.

Langkah yang diumumkan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim awal Mei lalu ini bertujuan untuk memberikan perlindungan lebih baik kepada pekerja asing termasuk ekspatriat dan pekerja domestik, yang bekerja di negara ini.

Ini akan menyebabkan kos tambahan bagi pekerja asing dan majikan dengan anggaran kos melebihi RM140 juta setahun untuk majikan sahaja.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain