suria

Tingkat kemahiran dwibahasa, Karnival MBMMBI capai sasaran perkasa generasi muda... Bahasa Melayu, Inggeris gerak seiring

Karnival MBMMBI 2024 menjadi platform untuk menyemai semangat cintakan bahasa, ilmu dan budaya dalam kalangan generasi muda. Foto AZHAR MAHFOF (SMG)

PELBAGAI usaha diambil bagi memantapkan lagi penggunaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di negara ini pada peringkat awal di peringkat sekolah.

Justeru, sebarang inisiatif pemerkasaan kedua-dua bahasa itu dalam kalangan warga pendidik dan pelajar-pelajar di semua peringkat tidak harus dipandang serong dan rendah.

Sebaliknya, ia perlu dilihat sebagai salah satu langkah dalam melahirkan pelajar yang lebih berkemahiran serta mampu berdaya saing pada masa depan.

Tumpuan bagi memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan para pelajar juga tidak seharusnya dilihat bakal meminggirkan penguasaan terhadap mana-mana bahasa ibunda tempatan.

Karnival MBMMBI 2024 buat julung kali dilaksanakan dengan konsep Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris gerak seiring.

Karnival MBMMBI 2024 buat julung kali dilaksanakan dengan konsep Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris gerak seiring.

Bergerak seiring, Karnival Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) 2024 dianjurkan bagi meningkatkan kemahiran dwibahasa dalam kalangan pensyarah, siswa guru, sekolah, pengajar Institut Pengajian Guru (IPG) dan komuniti setempat.

Ia diadakan selama dua hari iaitu bermula Khamis hingga Jumaat, 24 Oktober hingga 25 Oktober lalu di IPG Kampus Bahasa, Kuala Lumpur.

Agenda Reformasi Pendidikan

Bertujuan untuk memperkasakan dua bahasa penting itu, Karnival MBMMBI 2024 yang diadakan selama buat julung kalinya memperlihatkan kepentingan dan kebersamaan.

Karnival itu juga dianjurkan sebagai inisiatif dalam memastikan agenda Reformasi Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mencapai sasarannya terhadap kepentingan penggunaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Karnival hasil gabungan tenaga dan garapan idea daripada 27 Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) kampus seluruh negara dengan kerjasama Pasukan Petugas Khas Bahasa MBMMBI mampu menyemarakkan aktiviti kebahasaan dalam kalangan warga pendidik dan pelajar seluruh negara.

Rektor Institut Pengajian Guru Malaysia (IPGM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dr Mohd Azam Ahmad berkata, karnival itu menjadi platform untuk menyemai semangat cintakan bahasa, ilmu dan budaya yang akan kekal menjadi warisan generasi akan datang.

Jelasnya, ia sekali gus dapat menggalakkan masyarakat terutamanya generasi muda menggunakan bahasa dengan betul.

Mohd Azam berharap karnival bahasa diketengahkan bagi memupuk generasi muda tentang penggunaan bahasa yang betul.

Mohd Azam berharap karnival bahasa diketengahkan bagi memupuk generasi muda tentang penggunaan bahasa yang betul.

“Disebabkan itu, pengalaman yang hidup perlu diwujudkan bagi merangsang anak-anak dalam kemahiran dwibahasa.

“Hal ini kerana, dalam era digital ini, kedua-dua bahasa boleh terancam dan boleh membuatkan mereka guna bahasa yang maksudnya tidak difahami,” katanya.

Mohd Azam berkata, karnival bahasa ini membawa tema yang amat bersesuaian dengan aspirasi negara, iaitu ‘Seni Berbahasa Wahana Perpaduan Madani’.

“Tema ini melambangkan peranan penting bahasa sebagai medium perpaduan, selari dengan prinsip-prinsip Malaysia Madani yang menekankan nilai kemanusiaan, kesaksamaan dan keharmonian.

“Berteraskan pengisian semarak MBMMBI, karnival ini dibentuk dengan program interaktif dan aktiviti nilai tambah secara individu atau berkumpulan, dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris yang dibudayakan di kampus IPGM dan Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis perasmian pembukaan Karnival MBMMBI 2024 di IPGM Kampus Bahasa Melayu, di Kuala Lumpur pada 24 Oktober lalu.

Karnival ini turut dihadiri warga pendidik dan murid untuk menyertai pelbagai aktiviti bahasa.

Karnival ini turut dihadiri warga pendidik dan murid untuk menyertai pelbagai aktiviti bahasa.

Mohd Azam berkata, pelaksanaan aktiviti itu tidak hanya menumpukan pengajaran dan pembelajaran bahasa di dalam kelas, tetapi juga pelaksanaan aktiviti koakademik seperti karnival, pameran dan pelbagai pertandingan berbentuk kebahasaan yang menjadi pemangkin peningkatan kemahiran berkomunikasi dan interpersonal.

“Penekanan Sahabat Bahasa menjadi teras pelaksanaan program MBMMBI. IPGM membudayakan konsep rakan bimbing rakan sebagai satu kaedah mengupayakan kecekapan berbahasa warga IPG khususnya pelajar.

“Konsep Sahabat Bahasa ini, IPGM budayakan dan popularkan di Sekolah Pengajar bagi 27 Kampus PGM seluruh Malaysia. Kaedah pelaksanaan adalah dengan memperkasakan aktiviti atau program bahasa Melayu dan bahasa inggeris dalam dan luar bilik darjah,” ujarnya.

Generasi muda fasih dwibahasa

Mohd Azam turut memberitahu, dasar MBMMBI 2024 dilaksanakan bukan sahaja bagi warga pendidik dan pelajar tetapi untuk seluruh warganegara bagi melahirkan generasi muda yang fasih kedua-dua bahasa itu.

“IPGM turut menyediakan pelbagai mainan rakyat, permainan bahasa dan aktiviti kebahasaan yang lain dalam bentuk pameran dan pertandingan untuk pengunjung khususnya murid.

“Istimewanya karnival kali ini, IPGM sediakan aktiviti kebahasaan dari seluruh negara. Menerusi karnival ini kita tonjolkan juga budaya berbahasa Melayu dan berbahasa Inggeris yang betul walaupun daripada pelbagai etnik dan budaya,” ujarnya.

Karnival MBMMBI 2024 membawa tema yang sangat sesuai dengan aspirasi negara iaitu ‘Seni Berbahasa Wahana Perpaduan Madani’.

Karnival MBMMBI 2024 membawa tema yang sangat sesuai dengan aspirasi negara iaitu ‘Seni Berbahasa Wahana Perpaduan Madani’.

Menurut beliau, karnival yang turut bergerak secara dalam talian itu menyaksikan penyertaan bagi pelbagai aktiviti pertandingan yang amat menggalakkan.

“Sambutan yang diberikan peserta menunjukkan kepekaan mereka terhadap penggunaan kedua-dua bahasa, malah keterbukaan mereka dalam menerapkan kelainan dari aspek variasi bahasa di negara ini.

“Peranan bahasa kini menjadi lebih penting. Karnival ini menjadi platform untuk menyemai semangat cinta akan bahasa, ilmu dan budaya yang akan kekal menjadi warisan generasi akan datang,” katanya.

Pelbagai aktiviti menarik

Jelas Mohd Azam, pertandingan seperti pantun, syair dan nyanyian lagu rakyat bukan sahaja dapat memperkukuh penguasaan bahasa, malah turut membantu melestarikan khazanah lisan Melayu.

“Khazanah lisan ini merupakan warisan budaya yang perlu kita pelihara dan hargai kerana keunikannya menjadi cerminan identiti dan jiwa bangsa.

“Melalui aktiviti ini, kita bukan sahaja meneruskan tradisi, tetapi juga menyemai rasa cinta kepada bahasa dan budaya dalam kalangan generasi muda,” ujar beliau.

Karnival MBMMBI 2024 yang berlangsung selama dua hari itu menghimpunkan pelbagai aktiviti menarik yang disertai warga pendidik dan para pelajar iaitu pertandingan Citra Pantun Melayu, pertandingan pidato, pertandingan syair dan pertandingan nyanyian Lagu Rakyat.

Antara aktiviti lain termasuk pertandingan skit, pertandingan public speaking, pertandingan poetry recitation, pertandingan vocal ensemble, pertandingan TikTok (kategori Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, pertandingan resensi buku (kategori Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris serta pertandingan kulit buku (kategori Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris).

Karnival MBMMBI 2024 menyaksikan penyertaan warga pendidik dan pelajar dari seluruh negara.

Karnival MBMMBI 2024 menyaksikan penyertaan warga pendidik dan pelajar dari seluruh negara.

Mohd Azam berkata, karnival tersebut menjadi platform memupuk kebersamaan rakyat menerusi aktiviti kebahasaan selari dengan peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, iaitu Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

“Dari aspek sastera dan budaya, penganjuran Karnival MBMMBI 2024 juga berupaya meningkatkan kesedaran tentang kepelbagaian budaya khususnya kesenian tradisional.

“Pelaksanaan Karnival MBMMBI 2024 ini menekankan konsep Sahabat Bahasa yang merupakan satu konsep bimbingan dinamik antara rakan agar semua warga IPGM KPM dapat menguasai pengetahuan, kemahiran, nilai dan etika berbahasa,” katanya lagi.

Malah katanya, penguasaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang terampil adalah penting supaya rakyat Malaysia dapat berkomunikasi dengan fasih dan yakin dalam kedua-dua bahasa.

Penggunaan bahasa yang betul

Dalam pada itu, Mohd Azam meletakkan keyakinan bahawa penganjuran Karnival MBMMBI turut membantu mempopularkan konsep budaya berbahasa yang betul dalam komunikasi harian walaupun dalam situasi santai.

“Memikirkan perkara baik perlu dikongsi bersama, maka dalam Karnival MBMMBI 2024 turut mengundang sekolah Pengajar IPGM dan sekolah-sekolah sekitar Bangsar dan Pudu.

“Hasratnya, segala hasil kerja warga IPGM khususnya inovasi pembelajaran dan pengajaran (PdP) Bahasa Melayu, bahan penerbitan dan aktiviti MBMMBI dapat dijadikan rujukan oleh pelawat-pelawat dalam karnival ini,” katanya.

Tambahnya, istimewanya kali ini IPGM mengadakan aktiviti kebahasaan dari seluruh pelosok negara termasuk menonjolkan budaya berbahasa Melayu dan berbahasa Inggeris yang betul walaupun datang dari pelbagai etnik dan budaya berbeza.

Mengulas mengenai kerjasama dengan universiti swasta, Mohd Azam mengakui memang terdapat pihak universiti swasta yang mahu bekerjasama dengan IPGM.

“Pada karnival ini, terdapat guru-guru dari Kazakhstan yang hadir dan mereka mahu melihat pelaksanaan program MBMMBI dan mungkin selepas ini mereka akan berkongsi pula pendekatan strategi negara mereka dalam Bahasa Inggeris.

“Memang banyak pihak yang ingin bekerjasama dengan IPGM, namun kita akan susun supaya ia mengikut prosedur dan cara yang betul,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain