suria

Juruiring orang kenamaan pukul pemandu OKU mengaku bersalah, didenda RM1,000

Nasib pemandu OKU ini akhirnya terbela apabila pelaku dijatuhi hukuman pada Isnin.

SEORANG juruiring kepada orang kenamaan didenda RM1,000 kerana mencederakan seorang pemandu e-hailing kurang upaya pada 28 Mei lalu.

Tertuduh, Muhammad Taufik Ismail, 32, seorang polis pengiring berpangkat lans koperal, membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan di Mahkamah Kuala Lumpur pada Isnin pagi.

Muhammad Taufik didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda tidak lebih RM2,000, atau kedua-duanya sekali.

Mengikut pertuduhan, dia dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap pemandu itu di lobi sebuah hotel di Brickfields, pada pukul 11.40 pagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Lepas 5 bulan, juruiring kenamaan pukul pemandu OKU didakwa di mahkamah hari ini

Muhammad Taufik akan dipenjara selama 20 hari sekiranya gagal membayar denda.

Media sebelum ini melaporkan seorang pemandu orang kurang upaya (OKU), Ong Ing Keong, 47, mendakwa dipukul seorang pengiring keselamatan bagi rombongan kenamaan pada 28 Mei 2024.

Pemandu itu mendakwa ditumbuk di kepala ketika diminta untuk mengalihkan kenderaannya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain