suria

Rakyat Malaysia sertai perang Ukraine-Rusia alami kecederaan tapi masih hidup

Cahaya yang dilihat di langit malam ketika tentera Ukraine mencari dan menembak dron semasa serangan dron Rusia. Foto Reuters

SEORANG lelaki rakyat Malaysia yang didakwa menyertai peperangan antara Ukraine dan Rusia mengalami kecederaan tetapi masih hidup, kata Tan Sri Razarudin Husain.

Ketua Polis Negara itu berkata, risikan yang dijalankan mendapati lelaki berusia 20 tahun dari Kedah itu cedera selepas terkena serpihan daripada serangan dron Rusia pada Oktober lalu.

Beliau berkata, risikan juga menunjukkan bahawa dia memohon secara dalam talian untuk menyertai tentera Ukraine.

“Dia mempunyai minat dalam ketenteraan dan (ditawarkan) gaji antara AS$400 (RM1,749) dan AS$2,700 (RM11,807), mengikut tahap bahaya di zon perang.

"Kita juga percaya dia menjauhkan diri daripada keluarga dan mencari pekerjaan di luar negara," katanya pada Isnin.

Razarudin berkata, lelaki itu kehilangan MyKad dan lesen memandu Malaysia ketika cuba menyelamatkan diri semasa serangan dron Rusia.

“Bagaimanapun, dia masih mempunyai pasport. Dia menamatkan pengajian di peringkat A-Level di sebuah kolej swasta di Petaling Jaya dan tidak mempunyai sebarang akaun media sosial.

“Sebaliknya, dia memberi tumpuan kepada permainan dalam talian, terutamanya berbentuk peperangan,” katanya.

Ketua Polis Negara sebelum ini memberitahu bahawa polis sedang mengesahkan dakwaan bahawa kad pengenalan Malaysia dan lesen memandu ditemui di Levadne di Zaporizhia, Ukraine.

Dokumen pengenalan itu dilaporkan ditemui selepas tentera Rusia menawan kubu Ukraine di Levadne. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Sebelum

Artikel Berikut