suria

Pejabat FashionValet, 3 lokasi lain diserbu SPRM

SPRM menjalankan siasatan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta membabitkan FashionValet.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu empat lokasi bagi menjalankan siasatan berhubung kerugian pelaburan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta membabitkan FashionValet.

Dalam satu kenyataan ringkas, SPRM memaklumkan salah satu daripada empat serbuan yang dilakukan adalah pejabat FashionValet di Kuala Lumpur pada Isnin.

Menurutnya, siasatan tersebut penting kerana ia merupakan kes berkepentingan awam.

"Proses siasatan dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

"Semua lokasi itu diserbu secara serentak pada hari ini," katanya menerusi siaran TikTok rasmi SPRM pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM siasat kerugian pelaburan RM43.9 juta dalam FashionValet

ARTIKEL BERKAITAN: Vivy, suami akhirnya jawab isu FashionValet... Mohon maaf kepada pelabur, lepaskan jawatan

Dalam jawapan bertulis di Parlimen minggu lalu, Kementerian Kewangan berkata Khazanah dan PNB menjual saham mereka dalam platform e-dagang fesyen FashionValet pada harga RM3.1 juta kepada NXBT Partners pada tahun 2023.

Ini berbeza dengan pelaburan RM47 juta yang dibuat oleh Khazanah dan PNB pada tahun 2018, terdiri daripada RM27 juta dan RM20 juta masing-masing untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.

Pada Khamis, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengarahkan kedua-dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan itu dan FashionValet untuk menjelaskan kerugian sebanyak RM43.9 juta itu.

Ketiga-tiga pihak telah mengeluarkan kenyataan.

Khazanah berkata penjualan pegangan sahamnya dalam FashionValet adalah untuk memindahkan pemilikan kepada pihak baharu yang berkemampuan untuk mengemudi syarikat ke arah pertumbuhan.

Sementara itu, PNB menyatakan pelaburan itu menggunakan dana proprietari dan bukan dana amanah di bawah Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang dilanggan oleh orang awam.

Pada Jumaat, pasangan usahawan Datin Vivy Yusof dan suami, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar turut memohon maaf dan melepaskan jawatan mereka dalam platform e-dagang, FashionValet.

Pengasas bersama FashionValet itu berkata, mereka bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan pelaburan oleh Khazanah dan PNB.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain