SEPASUKAN pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diarahkan ke kediaman dan premis (pejabat) milik Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar, petang Rabu. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata pegawai penyiasatnya diarah ke rumah dan premis milik pasangan pengasas FashionValet itu untuk menjalankan siasatan lanjut. "Pegawai saya kini dalam proses membuat siasatan terhadap premis-premis dimiliki pasangan itu. Mereka pergi ke premis-premis yang ada untuk mengambil dokumen dan sebagainya. “Perkembangan lanjut saya akan maklumkan kemudian. Sebenarnya siasatan terhadap pasangan ini masih berlangsung dan belum habis lagi," katanya ketika dihubungi media pada Rabu. ARTIKEL BERKAITAN: Vivy Yusof, suami tiba di pejabat SPRM bantu siasatan kerugian RM43.9 juta pelaburan FashionValet Terdahulu, Vivy dan Fadzaruddin hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya bagi merekodkan keterangan berkaitan kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah). Mereka kemudiannya dilihat meninggalkan ibu pejabat SPRM pada pukul 4.23 petang, yang mana hari ini merupakan hari kedua mereka disoal siasat. Vivy dan Fadzaruddin pada 1 November memohon maaf atas kerugian pelaburan itu dan mengumumkan pengunduran dengan meletak jawatan mereka dalam FashionValet. Pada Isnin lalu, SPRM menyerbu empat lokasi bagi menjalankan siasatan berhubung kerugian pelaburan berkenaan. Dalam satu kenyataan ringkas, SPRM memaklumkan salah satu daripada empat serbuan yang dilakukan adalah pejabat FashionValet di Kuala Lumpur. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube