SELEPAS negara dikejutkan dengan berita penahanan enam rakyat Malaysia di Narathiwat, Thailand kerana memiliki 6,000 pil kuda, terbaharu seorang rakyat negara ini ditahan atas dakwaan terlibat dalam komplot menyeludup 100 kilogram (kg) methamphetamine ke Australia yang disembunyikan di dalam peralatan elektronik. Polis Persekutuan Australia (AFP) menahan lelaki berusia 45 tahun itu selepas pegawai Pasukan Sempadan Australia (ABF) yang menjalankan siasatan menemui dadah terlarang berkenaan yang disembunyikan dalam komputer menerusi kargo udara yang tiba dari Malaysia pada pertengahan Oktober. ARTIKEL BERKAITAN: Permohonan ikat jamin penyanyi dialek Kelantan, suami dan 4 rakan ditolak mahkamah, ada potensi melarikan diri Pasukan ABF memeriksa kiriman kargo dan menemui blok bahan putih seberat kira-kira 100kg kesemuanya yang disahkan dadah. Pasukan tersebut mengeluarkan semua dadah yang disembunyikan sebelum kiriman kargo dihantar ke unit penyimpanan di Kingsgrove, di mana kiriman diambil oleh suspek. Dadah yang disembunyikan dalam komputer yang ditemui pihak berkuasa Australia. -Foto AFP Suspek kemudiannya ditangkap oleh AFP dan didakwa atas kesalahan memiliki dadah kawalan sempadan dalam kuantiti komersial membabitkan 100kg methamphetamine. Difahamkan, suspek dihadapkan ke Mahkamah Tempatan Pusat Downing pada 31 Oktober lalu dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman maksimum penjara seumur hidup. Pemangku penguasa AFP, Stuart Millen berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan ABF dan pihak berkuasa lain untuk memerangi penyeludupan dadah terlarang. Sementara itu Pemangku komander ABF, Matthew O'Connor berkata sindiket jenayah terus mencari kaedah dan jalan penyembunyian alternatif untuk cuba mengimport dadah ke negara ini. -Agensi Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube