suria

Vivy Yusof, suami tiba di pejabat SPRM bantu siasatan kerugian RM43.9 juta pelaburan FashionValet

Menurut sumber, pasangan ini tiba di pejabat SPRM pada 2 petang, Selasa.

PENGASAS FashionValet, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk merekodkan kenyataan berhubung siasatan terhadap kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).

Sumber berkata, pasangan itu tiba sekitar pukul 2 petang Selasa dan turut ditemani peguam.

SPRM memulakan siasatan terhadap kerugian yang ditanggung Khazanah dan PNB daripada pelaburan mereka ke dalam FashionValet, sebuah perniagaan fesyen dalam talian tempatan.

Sebelum ini Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata pengasas syarikat itu akan dipanggil untuk disoal siasat.

Agensi itu setakat ini sudah memanggil empat saksi daripada PNB, Khazanah dan Menteri Kewangan untuk direkodkan keterangan mereka.

vv

Vivy dan suaminya turut membuat permohonan maaf pada 1 November.

SPRM juga dilaporkan merampas beberapa dokumen sebagai sebahagian daripada siasatannya.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen minggu lepas, Kementerian Kewangan berkata Khazanah dan PNB menjual sahamnya dalam platform e-dagang pada harga RM3.1 juta kepada NXBT Partners pada 2023.

Ini berbeza dengan pelaburan RM47 juta yang dibuat oleh Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing terdiri daripada RM27 juta dan RM20 juta untuk kepentingan minoriti dalam FashionValet.

ARTIKEL BERKAITAN: Vivy, suami akhirnya jawab isu FashionValet... Mohon maaf kepada pelabur, lepaskan jawatan

Pada 1 November lalu, Vivy dan Fadzaruddin memohon maaf atas kerugian tersebut dan berkata kan berundur daripada jawatan mereka dalam FashionValet.

Mereka berkata langkah itu diambil bagi mengelak kontroversi lanjut menjejaskan syarikat itu, yang kini dalam proses pemulihan.

Pada Isnin pula, SPRM menyerbu empat lokasi bagi menjalankan siasatan berhubung kerugian pelaburan.

Dalam satu kenyataan ringkas, SPRM memaklumkan salah satu daripada empat serbuan yang dilakukan adalah pejabat FashionValet di Kuala Lumpur.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain