suria

Lelaki amuk di plaza tol terima padah... Rupanya positif dadah, ada 17 rekod jenayah

Tangkap layar video yang tular mengenai insiden di kaunter plaza tol.

LELAKI yang tular mengamuk dan mengeluarkan kata-kata kesat di kaunter sebuah plaza tol menerima padah apabila ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abd Yusof berkata, pihaknya menyedari satu video tular di media sosial berhubung kejadian yang berlaku di sebuah plaza tol berhampiran Jalan Batu 9 dekat Kajang.

Menerusi video tersebut, katanya, seorang lelaki keluar dari kenderaan dan menuju ke kaunter tol sambil memarahi jurutol serta menendang dinding kaunter.

"Siasatan mendapati punca kejadian disebabkan oleh suspek ditegur mengetuk tempat kad 'Touch n Go' dengan kuat semasa menggunakannya sebelum itu.

"Suspek kemudian terus mengamuk memarahi mangsa dengan bahasa kesat serta menendang dinding kaunter tol," katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Susulan kejadian itu, suspek berusia berusia 31 tahun ditahan pada pukul 7 malam Isnin bersama sebuah kereta jenis Perodua Alza berwarna hitam di sebuah taman perumahan di kawasan Hulu Langat, Selangor bagi membantu siasatan.

Naazron berkata, hasil pemeriksaan ujian awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Suspek juga mempunyai 17 rekod jenayah lampau," katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan khianat yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Selain itu katanya, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkait kejadian boleh berhubung terus dengan Balai Polis yang berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes Inspektor Ahmad Rahmat Adnan di talian 014-5156933 bagi membantu siasatan," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain