GURAUAN keterlaluan dipercayai menjadi motif di sebalik dakwaan insiden buli melibatkan seorang pegawai kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, siasatan awal mendapati tidak berlakunya sebarang pergaduhan atau elemen dendam dalam kes itu. "Kejadian berlaku tanpa motif apabila suspek bertanya kepada mangsa sama ada pernah cuba atau tidak (seterika) yang panas. "Tiada motif sebenarnya, tidak ada dendam, pergaduhan atau buli. Hanya bergurau, nak kata ragging tak juga, itu bukan ragging. "Apabila ada benda-benda berbahaya seperti senjata atau barang panas jangan sesekali bermain, ini kali pertama mangsa kena," ujarnya kepada pemberita. Rusdi berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan sebuah acara di Dewan Serbaguna Taman Tasik Metropolitan Kepong pada Selasa. Menurut Rusdi, laporan perubatan mangsa masih belum diperolehi, namun siasatan sudah hampir selesai selepas polis merekodkan keterangan 16 individu. ARTIKEL BERKAITAN: Seterika tekap dada pegawai kadet UPNM dirampas polis "Kami sudah menyelesaikan siasatan tetapi masih menunggu laporan perubatan mangsa. "Kami juga sudah merujuk kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara hari ini (Selasa)," ujarnya. Pada 30 Oktober, media melaporkan seorang pegawai kadet tahun dua di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM, Sungai Besi dipercayai menjadi mangsa buli dan dera. Susulan itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian melibatkan mangsa yang dibuli dan melecur pada dada akibat ditekap seterika seperti yang tular di media sosial. Pada 1 November, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberi amaran tentang gejala buli ketika berucap dalam program “Temu Anwar” di kampus UPNM. Menurut Anwar, budaya itu tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi dianggap satu budaya biasa dalam institusi pendidikan di negara ini. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube