suria

Transformasi sektor tenaga dan air, PETRA komited pastikan pengurusan mampan, inovatif

Pengurusan sumber air dan tenaga efisien penting untuk kehidupan dan ekonomi. -Gambar hiasan

ANDA mungkin masih mampu meneruskan kehidupan selama beberapa hari tanpa elektrik mahupun gajet, tetapi sukar untuk bertahan tanpa air.

Ini berikutan 70 peratus daripada tubuh manusia terdiri daripada komposisi air. Air sumber alam sangat bernilai bagi kehidupan bumi lebih lagi buat manusia.

Digunakan untuk pelbagai kegunaan asasi, sumber asli berharga itu dimanfaatkan dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk aktiviti harian seperti mencuci dan memasak.

Air juga sangat bernilai bagi membantu menjana pelbagai bidang ekonomi seperti perikanan, pertanian, penjanaan sumber tenaga elektrik dan perindustrian.

Krisis air melanda kawasan Lembah Klang sekitar 1998 dan 2002 mengakibatkan banyak aktiviti terjejas sekali gus membuka mata masyarakat tentang kepentingan air.

Sehubungan itu, dalam membekalkan sumber air bersih dan optimum serta mampan, transformasi air menyeluruh dapat membantu.

Transformasi air merujuk kepada pengurusan sungai, banjir dan kumbahan serta banjir bermusim bagi memastikan pengguna mendapat bekalan yang bersih.

Inovasi sistem pengurusan air menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan pengurusan air yang mampan. Gambar hiasan

Inovasi sistem pengurusan air menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan pengurusan air yang mampan. Gambar hiasan

Inisiatif mengintegrasikan teknologi canggih dan infrastruktur yang kukuh untuk membentuk semula ekosistem sektor air negara merupakan antara tanggungjawab utama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Usaha itu dikendalikan dengan tujuan memberikan inovasi dalam transformasi sektor air mampan menerusi beberapa inisiatif.

Pelbagai program dijalankan bagi mencapai sasaran, antaranya Program Tebatan Banjir, Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara, Program Sungai Denai Kebangsaan dan Program Pemuliharaan dan Pembersihan Sungai.

Selain itu, Program Kadar Air Tidak Berhasil (NRW) Kebangsaan, Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS), Penghasilan Air Pulih Guna, Pelarasan Tarif Air Yang Komprehensif dan Rebat caj pembentungan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) turut dikendalikan atas tujuan sama.

PETRA sebelum ini dikenali sebagai Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam (KPTDGA), melaksanakan penjenamaan semula nama kementeriannya bagi menggambarkan peranan sebenar dan tanggungjawab kementerian itu dalam usaha transformasi bidang tenaga dan air negara.

Perubahan tersebut juga sejajar visinya sebagai peneraju tadbir urus bekalan elektrik dan air yang mampan serta inklusif dalam menjamin kesejahteraan negara.

Merujuk kepada kenyataan media kementerian tersebut, singkatan Peralihan Tenaga dizahirkan secara simbolik pada tiga huruf pertama (PET), manakala Transformasi Air melalui tiga huruf terakhir akronim berkenaan (TRA). Penetapan akronim dan nama baharu kementerian menzahirkan aspirasi serta fungsi dan tugasnya secara lebih jelas buat masyarakat umum.

"Sektor tenaga dan air merupakan komponen terpenting dalam kehidupan dan kesejahteraan rakyat bakal digalas oleh kementerian ini,” menurut kementerian itu.

Terdapat 10 agensi disenaraikan di bawah PETRA, terdiri daripada Suruhanjaya Tenaga (ST), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Indah Water Konsortium (IWK), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP), Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (Nahrim), Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Jabatan Bekalan Air (JBA), Pihak Berkuasa Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) dan Malaysia Programme Office for Power Electricity Reform (MyPower).

Selain memperkasa urus tadbir sektor air, PETRA turut memainkan peranan dalam meningkatkan kualiti sektor tenaga negara.

Logo PETRA menggunakan rekaan grafik empat elemen utama alam merangkumi Daun Hijau, Grid Air, Grid Kuasa dan Aliran Air

Logo PETRA menggunakan rekaan grafik empat elemen utama alam merangkumi Daun Hijau, Grid Air, Grid Kuasa dan Aliran Air

Portfolio logo kementerian itu turut menggunakan rekaan grafik empat elemen utama alam merangkumi Daun Hijau, Grid Air, Grid Kuasa dan Aliran Air yang masing-masing membawa maksud tersendiri.

Daun Hijau melambangkan usaha kementerian itu ke arah mewujudkan bekalan elektrik hijau demi mengurangkan jejak karbon.

Grid air pula menerangkan peranan kementerian itu dalam perkhidmatan bekalan air dan pembentungan.

Selain itu, grid kuasa menunjukkan peranan dalam perkhidmatan bekalan tenaga dan akhir sekali aliran air menggambarkan peranan dalam pengurusan sumber air kepada rakyat.

Menjelang 2050, PETRA menyasarkan visi ke arah karbon sifar dan memastikan keselamatan, kesejahteraan rakyat terjamin di samping menitik beratkan kemampanan awam dari penggunaan tenaga.

Bagi melaksanakan visi itu, empat tonggak MADANI direncanakan sebagai inisiatif kementerian itu termasuk Keterjaminan, Keselamatan; Kemampanan dan Kesejahteraan.

Program seperti Solar @ PETRA, Program Solaris, Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu (TBB), Malaysia Electricity Supply Industry Reform (MyRER), National Energy Transition Roadmap (NETR), Dasar Tenaga Negara (DTN) dan Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) diketengahkan bagi merealisasikan visi tersebut.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Pelan Transformasi Air PETRA merupakan satu langkah penting ke arah penstrukturan semula dan pengukuhan sektor air negara.

“Menyedari keperluan penglibatan semua pihak berkepentingan, kami mengutamakan kerjasama untuk memastikan perkhidmatan air bertaraf dunia di Malaysia sepanjang dekad akan datang.

“Dalam mengharungi era baharu tadbir urus, PETRA komited untuk menerajui inisiatif mampan untuk mentransformasikan air,” katanya.

Pelan Transformasi Air yang dirangka bakal mengguna pakai beberapa objektif strategik dalam usaha memberikan kualiti transformasi air terbaik.

Beliau optimistik, berpegang kepada semangat negara menuju ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), kapasiti negara untuk mengguna pakai teknologi termaju bagi mengukuhkan lagi keupayaan pengurusan air negara dapat dicapai.

“Asas kepada transformasi air ini adalah khazanah data yang dapat memberi maklumat lebih tepat dan dipercayai melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Perkara itu juga dapat membuka potensi penuh pengurusan air yang lebih mampan,” ujarnya.

Pengurusan air melalui penswastaan atau pengawalan lebih strategik mampu memastikan akses air bersih.

Pengurusan air melalui penswastaan atau pengawalan lebih strategik mampu memastikan akses air bersih.

Antara perancangan tersebut adalah meningkatkan keberhasilan air bersih dan liputan sistem kumbahan di kawasan pedalaman kepada 98 peratus menjelang 2025.

Beliau berkata, pelan tersebut juga akan menggariskan langkah demi mengurangkan penghasilan air tanpa hasil (NRW) kepada 31 peratus.

“Langkah itu sejajar dengan inisiatif agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 2030 PBB) memastikan pengurusan air mampan dan kebersihan untuk semua lapisan masyarakat,” katanya.

Sebagai tambahan, jelasnya kementerian itu akan menyokong penggunaan teknologi terkini dan pembinaan infrastruktur yang teguh untuk membentuk ekosistem sektor air negara.

Menuju ke hadapan, Fadillah berkata, pembabitan sektor swasta amat penting dalam memenuhi kehendak pelaburan yang diperlukan pelan transformasi itu, bagi memastikan keterjaminan air.

“Petra bercadang untuk memperkenalkan pembiayaan swasta alternatif bagi memastikan kemampanan kewangan membabitkan program sektor air.

“Seterusnya mengurangkan kebergantungan terhadap kewangan kerajaan, dan mengukuhkan daya tahan.

“Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab kami untuk menyokong hala tuju pembangunan masa panjang dan strategi bertujuan menghasilkan air secara inovatif dan bersih,” ujar beliau.

Pada masa sama, beliau turut menyeru semua pihak berganding bahu bersama PETRA bagi melakukan perubahan besar dalam memperkasakan kepentingan pengurusan air negara.

Kolaborasi inisiatif dan program dilaksanakan bagi memastikan visi, misi dan objektif PETRA tercapai.

Kolaborasi inisiatif dan program dilaksanakan bagi memastikan visi, misi dan objektif PETRA tercapai.

PETRA komited untuk mencapai lapan objektif disenaraikan, antaranya sebagai organisasi memperkasa pengurusan dan kawal selia industri bekalan elektrik secara strategik dengan mengoptimumkan tenaga boleh baharu. Hasrat kementerian juga adalah untuk meningkatkan kecekapan tenaga bagi menjamin perkhidmatan berdaya harap, mampu bayar dan lestari serta memperluas penggunaan atau adaptasi tenaga boleh baharu dalam kalangan pemain industri.

Menerusi objektif keempat, kementerian itu berhasrat untuk meningkatkan tahap liputan dan mutu penyampaian perkhidmatan bekalan air serta pembetungan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

Mencapai peningkatan kemampanan sumber air dalam memastikan ketersediaan dan kestabilan bekalan air negara juga antara objektif disenaraikan.

PETRA memainkan peranan dalam menyediakan air bersih dan selamat untuk pengguna.

PETRA memainkan peranan dalam menyediakan air bersih dan selamat untuk pengguna.

Kementerian itu juga mahu memperkasa dan mengantarabangsakan industri perkhidmatan air melalui inovasi teknologi terkini serta modal insan yang kompeten.

Pembangunan modal insan dan pengurusan kewangan yang cekap serta tadbir urus baik merangkumi pengukuhan perundangan.

Akhir sekali, kolaborasi strategik dengan pihak berkepentingan turut menjadi elemen utama dalam pencapaian objektif disasarkan.

Misi PETRA adalah memberi keutamaan terhadap pengurusan dan mengawal selia industri bekalan air elektrik secara strategik dengan mengoptimumkan sektor air dan tenaga terutamanya dalam pemerkasaan tenaga boleh baharu demi menjamin perkhidmatan yang berdaya harap, mampu bayar dan mampan.

Wajar sekali, PETRA sebagai salah satu kementerian dan organisasi terpenting di negara ini akan meneruskan misi dalam memastikan kemampanan dan keterjaminan air di negara ini melalui dasar dan pengukuhan tadbir urus.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain